suria

Bapa menangis terkejut terima Mercedes Benz daripada Anzalna

Anzalna memeluk bapanya, Md. Nasir selepas membuat kejutan menghadiahkan sebuah kereta baharu Mercedes Benz.

BERSEMPENA ulang tahun perkahwinan ketiganya, pelakon Anzalna Nasir membuat kejutan apabila menghadiahkan sebuah kereta mewah Mercedes Benz kepada ibu bapanya.

Anzalna, 31, berkata, dia dan suami, Hanif Zaki memilih untuk membeli kenderaan mewah itu sebagai mengenang jasa orang tuanya yang telah membesarkannya selama ini.

"Saya masih ingat ketika kami pergi berbulan madu saya turut membawa ibu bapa saya mengerjakan Umrah dan hari ini pada ulang tahun ketiga perkahwinan kami saya membelikan mereka sebuah kereta.

"Saya percaya walaupun sudah berkahwin jangan pernah lupa ibu bapa yang membesarkan anda dan sentiasa menghormati suami anda," katanya menerusi Instagram.

Anzalna sekeluarga bergambar kenangan dengan kereta baharu bapanya.

Anzalna turut memuat naik video mengejutkan ibu bapanya di YouTube yang pada awalnya mereka diberitahu kereta itu adalah miliknya.

Bagaimanapun Anzalna tiba-tiba menyerahkan kunci kenderaan itu kepada bapanya iaitu Md. Nasir sebelum dia memeluk orang tuanya itu dan memberitahu kereta itu adalah miliknya.

Md. Nasir turut dilihat menitiskan air mata menerima kejutan itu dan kemudian memeluk anaknya kembali.

Md. Nasir memberitahu dia memang meminati kereta Mercedes Benz namun langsung tidak menyangka Anzalna akan menghadiahkan kereta berkenaan.

Terkejut... Ibu bapa Anzalna menyifatkan hadiah tersebut sebagai menyenangkan.

"Ia adalah hadiah yang cukup menyenangkan. Cantik, suka. Idaman sebenarnya nak beli kereta macam ini," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai ulang tahun perkahwinannya, Anzalna berkata, dia sentiasa berdoa agar Allah merahmati perkahwinan mereka sehingga ke akhir hayat.

Menyifatkan perkahwinannya dengan Hanif sebagai indah, pelakon itu memberitahu hormat menghormati di antara satu sama lain adalah kunci kepada kebahagian.

"Kehidupan berkahwin adalah sangat indah apabila anda mempunyai rasa hormat untuk satu sama lain.

Kasih seorang anak terhadap bapanya.

"Hari ini, genap 13 tahun bersama (tempoh bercinta dan berkahwin) Hanif Zaki, tiga tahun melayari perkahwinan dan bakal bertiga tahun ini, Insya Allah.

"Saya tidak tahu apa menanti kami pada masa hadapan, tetapi saya sentiasa berdoa kepada Allah agar merestui perkahwinan kami dan membolehkan saya sentiasa bersama suami sehingga ke akhir hayat saya," ujarnya.

Anzalna dan Hanif berkahwin pada 21 Februari 2016 dan pasangan itu baru-baru ini mengumumkan mereka bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.

Anzalna Nasir

Artikel Lain