suria

“Sebagai rakyat Perlis saya malu sangat” - Rita Rudaini dedah tolak kerjasama dengan pasukan Perlis

Rita Rudaini bersama kelab bola sepak miliknya RR Cougars FC.

PELAKON Rita Rudaini berasa sedih dan malu dengan kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Pelakon yang berasal dari negeri tersebut mendedahkan, PFA pernah cuba mengatur pertemuan dengannya, dipercayai untuk satu kerjasama dengan kelab bola sepak RR Cougars FC yang ditubuhkannya tahun lalu.

"Malam tadi tengok berita rasa malu sangat mula-mula gah canang sana sini, saya pernah dihubungi pihak sana minta pengurus saya aturkan pertemuan katanya mahu bincang pasal team bola antara team saya dan Perlis.

"Kononnya macam nak ada kerjasama tapi saya tak pandang tawaran atau wang ringgit, saya siasat latar belakang, saya banyak kaki (maklumlah 'kak long' kawasan Indera Kayangan) dan saya buat keputusan tak mahu jumpa," tulisnya di Instagram.

PFA berdepan dengan kemelut kewangan sehingga beberapa pemainnya bertindak meninggalkan pasukan itu kerana tidak menerima gaji sejak beberapa bulan lalu.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumukan telah membatalkan penyertaan pasukan itu dalam Liga Malaysia musim ini yang berkuatkuasa pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamat tinggal Perlis! MFL batalkan penyertaan Singa Utara dalam Liga Malaysia

Rita akui berasa malu dengan berita berkaitan kemelut PFA.

Pelakon itu mengambil inisiatif menubuhkan RR Cougars FC kerana minat mendalam dalam sukan itu dan memberi pendedahan awal kepada dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 10, dan Airit Qaqa Arjuna, 8, terhadap sukan bola sepak.

Rita berkata, sebagai rakyat negeri itu dia turut berasa terhina dan malu dengan berita-berita sebegitu.

Katanya, permainan bola sepak bukan untuk berseronok, hiburan atau meraih populariti sebaliknya ia adalah punca rezeki pemain-pemain pasukan itu.

"Apa masalah Presiden PFA? Atau ada campur tangan pihak lain yang bagi janji manis? Walaupun negeri kita tercorot ke utara tapi janganlah bagi semua orang kenal sebab benda-benda busuk macam ni. Saya sayang dan bangga jadi anak Perlis," ujarnya.


Rita Rudaini

Artikel Lain