suria

Elyana, wartawan hiburan hidap kanser bakal kongsi penderitaan

Elyana

STESEN radio Suria bakal memperkenalkan kandungan khas sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari lalu.

Bermula Isnin depan, pendengar Suria akan disajikan dengan informasi dan pesanan khidmat masyarakat berkaitan kanser selama seminggu.

Pada 28 Februari pula, Team Pagi Suria akan menemubual Pakar Onkologi dari Institut Kanser Negara, Dr. Hafizah Zaharan untuk mengulas topik sama.

Lebih menarik, penyanyi Elyana yang menghidap kanser limfoma juga akan ditemubual bagi berkongsi perjalanan kesihatannya.

Selain Elyana, wartawan hiburan Rojak Daily, Fiza Kamarudin, penulis lirik yang juga wartawan Harian Metro iaitu Rudy Imran (Iman Imran) serta beberapa individu lain yang menderita kerana kanser juga akan ditemubual oleh stesen radio berkenaan.

Pelbagai maklumat berkaitan kanser akan disiarkan menerusi radio Suria selama seminggu bermula 25 Februari ini.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Suria, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, inisiatif itu merupakan salah satu langkah pihak mereka untuk memberi kesedaran mengenai kanser.

"Selain memberi kesedaran, kita juga mahu bagi keyakinan kepada golongan pesakit kanser.

"Bukan itu sahaja, diharapkan dengan adanya pengisian sebegini, ia akan memupuk kesedaran untuk membuat pemeriksaan agar kanser dapat dikesan pada peringkat awal," ujar menerusi satu kenyataan.

Antara program-program lain termasuklah lawatan ke Wad Penjagaan Harian di Institut Kanser Negara pada 26 Februari ini.

Lawatan tersebut akan dihadiri penyampai Suria seperti Fizi Ali, Sharifah Shahirah, Tyzo, Suraya dan DJ Lin.

Malah, skuad Suria Wheels juga akan mengedarkan risalah berkaitan kanser bersama riben khas di beberapa lokasi terpilih.

Suria, DJ Lin, Hari Kanser Sedunia

Artikel Lain