PEMILIK syarikat pengeluar produk kesihatan dan kecantikan Maydan Trading Sdn. Bhd. memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin bayaran sebanyak RM156,000 telah dilunaskan kepada aktres Nur Fazura untuk memasarkan produknya iaitu Q-Tab. Bagaimanapun kata pemiliknya, Narhamdan Abd. Malek, bayaran itu tidak setimpal dengan 75 peratus tugas yang dijanjikan oleh pelakon itu dalam mempromosikan produk tersebut sejak Oktober 2017. Kata ahli perniagaan berusia 54 tahun itu, Fazura selaku defendan pertama hanya menjalankan satu sidang media, sesi fotografi serta video, mempromosi dan memuat naik berkaitan produk itu di Instagram miliknya sebanyak tiga kali. Prosiding perbicaraan hari pertama kes itu dijalankan dihadapan Hakim Datuk Mohd. Firuz Jaffril. Maydan Trading Sdn. Bhd. selaku plaintif kes itu memfailkan saman terhadap Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 36 dan Universal Music Sdn. Bhd. selaku defendan kedua pada 16 Disember 2017. Berdasarkan writ, Narhamdan memiliki dan menjual produk kesihatan di atas nama dagang Maydan dan salah satu produk itu adalah 'candy' yang boleh dikunyah dikenali sebagai Q Tab untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku. Narhamdan (plaintif) bersama dua peguamnya. Pada 10 Ogos 2017, plaintif didakwa bersetuju secara bertulis dengan cara Helaian Terma (Term Sheet) yang dibuat oleh defendan kedua (Universal Music) untuk perkhidmatan Fazura. Perjanjian itu didakwa untuk Fazura memasarkan dan/atau mengendors produk untuk balasan bayaran sebanyak RM212,000 serta dibayar dalam tempoh enam bulan. Berdasarkan pernyataan tuntutan, antara perkhidmatan yang dibuat oleh Fazura adalah memasarkan produk secara besar melalui media sosial, lebih khususnya melalui saluran Instagram miliknya membabitkan 12 catatan (postings). Selain itu, Fazura perlu membuat lima penampilan awam, penampilan tunggal pada sidang akhbar serta sesi pengambilan gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk. Dalam prosiding itu, Maydan Sdn. Bhd. diwakili peguam Dzaki Ezwan Baharin dan Surita Sunkey manakala Nur Fazura dan Universal Music diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan, Wilson Lim dan Joel Prashant. Dalam pada itu, plaintif mendakwa defendan pertama pada akhir September 2017 telah melancarkan dan memasarkan produk kecantikan dan kesihatan iaitu Trudolly TruBeauty. Akibat daripada itu, pelanggaran berlaku dalam pemasaran kedua-dua produk itu menyebabkan plaintif mendakwa mengalami kerugian. Ini kerana plaintif mendakwa, rundingan dengan wakil defendan, Iman Tang secara lisan memberitau pelantikan defendan pertama untuk memasarkan produk itu melalui Instagram adalah berstatus eksklusif dan mengecualikan produk lain yang belum diendors oleh Fazura. Sementara itu, Fazura dalam pernyataan pembelaannya menafikan bahawa dirinya ada memasuki sebarang perjanjian dengan plaintif. Fazura juga memberitahu mahkamah bahawa Iman Tang bukan ejen atau wakilnya, sebaliknya hanya pengurus dan sebarang keputusan berkaitan dengan kerjaya seni hanya ditentukan oleh dirinya sendiri.