suria

Peminat tegar Tok Ti minta maaf, tegur baju lapuk mahu idolanya tampil menarik

Firdaus minta maaf andai kenyataannya gores perasaan banyak pihak.

INDIVIDU yang mengkritik pakaian Datuk Seri Siti Nurhaliza (Tok Ti) pada konsert jelajah yang berlangsung di Jakarta minggu lalu tampil menjelaskan tindakannya berbuat demikian.

Pemuda dikenali sebagai Firdaus Othman yang juga pereka pelamin The Calla itu berkata, teguran yang dibuatnya atas dasar peminat yang mahu penyanyi itu tampil sempurna.

"Pertama sekali saya nak meminta maaf andai kenyataan saya sebelum ni membuatkan ada pihak yang berkecil hati.

"Saya cuma sekadar berikan pendapat kerana saya adalah peminat setia Datuk Siti. Saya bukanlah netizen yang sesuka hati ingin kritik sesorang. Sebagai peminat tegarnya, saya ingin lihat idola saya dalam penampilan yang paling baik.

ARTIKEL BERKAITAN: “Asalkan selesa, buat apa nak pakai pakaian ketat” - Siti Nurhaliza jawab busana dikritik lapuk

Teguran terbuka Firdaus menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

"Dari segi penampilan, graphic led dan lighting seharusnya semua dalam keadaan on point," ujarnya kepada mStar Online pada Rabu.

Kritikan Firdaus terhadap busana rekaan Rizman Ruzaini yang dikatakan lapuk dan tidak sesuai dengan kehebatan penyanyi itu menjadi hangat di media sosial sejak Isnin lalu.

Penyanyi lagu Anta Permana itu bagaimanapun menegur kenyataan Firdaus di ruangan komen dan meminta dia menunjukkan rekaannya yang boleh dibanggakan.

Siti menerusi laporan mStar Online pada Selasa berkata, dia selesa dengan apa yang digayakan pada konsert tersebut.

Sementara itu, Firdaus turut meminta maaf kepada pereka fesyen Rizman Ruzaini jika kenyataan itu telah mengores hati mereka.

Bagaimanapun, tambahnya, kritikan itu adalah pandangan peribadi seorang peminat yang menganggap penyanyi itu sudah berada pada tahap yang lain.

"Maaf sekiranya pendapat saya kedengaran sedikit kasar buat pereka fesyen yang mereka pakaiannya ketika membuat persembahan di Jakarta baru-baru ini.

"Beliau kini bukan lagi penyanyi biasa-biasa dan sudah berada di satu tahap yang tertinggi di Malaysia. Bukan saja di Malaysia, bahkan namanya cukup kuat sehingga ke luar negara.

"Saya yakin, saya dan semua peminat setianya inginkan yang terbaik dari segi penampilan, persembahan dan semua yang berkaitan dengan beliau,” ujarnya.

Siti Nurhaliza

Sementara itu, Firdaus berharap pandangan peribadi itu diambil secara positif untuk diperbaiki menjadi lebih baik.

Katanya, dia juga teruja untuk menyaksikan persembahan penyanyi itu pada konsert yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

"Kalau saya bukan peminat, tak mungkin saya sanggup keluarkan wang untuk membeli tiket konsert beliau yang akan berlangsung di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

"Tentunya saya teruja. Orang sekeliling tahu betapa saya mengagumi dan meminati beliau sampaikan siang, malam sebelum tidur dan memasak pun saya dengar lagu beliau,” ujarnya.

Firdaus merupakan pereka pentas dan telah bekerjasama menghasilkan pelamin beberapa selebriti seperti Yuna, Anzalna dan Siti Saleha.

Terbaharu dia menghasilkan pelamin yang menjadi prop pada persembahan Sufian Suhaimi untuk Anugerah Juara Lagu 33 pada 3 Februari lalu.

Artikel Lain