suria

"Zamani individu pertama yakin bakat nyanyian saya" - Faizal Tahir kongsi kisah 15 tahun lalu

Faizal Tahir terharu dapat menyumbang dalam kerjaya seni Zamani.

PENYANYI dan komposer Faizal Tahir mendedahkan bahawa penyanyi Zamani merupakan individu pertama yang nampak bakatnya sebagai seorang penyanyi solo.

Faizal berkata, dia pertama kali berkongsi pentas dengan penyanyi Gerimis Mengundang itu kira-kira 15 tahun lalu ketika dia masih bersama kumpulan nasyid Mirwana.

"Masih jelas dalam ingatan saya lebih kurang 15 tahun yang lepas sewaktu saya bersama kumpulan nasyid Mirwana kami pernah berkongsi pentas dengan Zamani dalam satu persembahan.

"Selesai acara malam tersebut Zamani datang kepada saya dan mengatakan saya ada masa depan yang cerah dalam industri muzik.

"Dia bertanyakan saya sama ada saya mempunyai cita-cita untuk menjadi penyanyi solo kerana dia nampak bakat dan percaya dengan bakat saya," ujarnya di Instagram.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Aduh’ cinta Zamani tidak kesampaian

Faizal Tahir ketika bersama kumpulan nasyid Mirwana.

Tambah Faizal, perkara itu membuatkan dia seolah-olah tidak percaya kerana dia sendiri tidak pernah terlintas untuk bergerak secara solo sebagai penyanyi.

Katanya, dia sendiri tidak pernah berasa yakin dengan bakat nyanyianya ketika itu.

"Tak ada seorang pun yang pernah mengatakan begitu kepada saya. Dialah yang pertama dan satu-satunya insan percaya dengan bakat saya waktu itu.

"Jujurnya saya terkedu dan tak boleh proses kejap lepas dengar kata-katanya. Saya terlalu teruja dan seperti tak percaya dengan apa yang abang Zamani pesan kepada saya.

"Dia juga doakan kejayaan saya yang membuatkan saya begitu terharu. Lebih-lebih lagi waktu itu saya memang tidak pernah rasa mempunyai bakat berjaya dalam bidang nyanyian," ujarnya.

Faizal yang menjadi komposer untuk lagu baharu Zamani berjudul Aduh itu berkata dia bertuah dapat menyumbang kepada kerjaya seni penyanyi berkenaan.

"15 tahun selepas itu, saya dipertemukan kembali dengan Zamani. Kali ini berbeza dan lebih manis kerana saya dapat menyumbang kepada perjalanan kerjaya seninya.

"Tiada apa yang dapat saya ucapkan melainkan terima kasih tak terhingga kepada abang Zamani kerana percaya dengan saya dan team saya.

Zamani, Faizal Tahir

Artikel Lain