suria

Tiada pilih kasih... Man Bai hantar borang lewat, tidak lengkap sebab itulah tak dapat buat konsert

Man Bai meluahkan rasa kecewa terhadap pengurusan Istana Budaya selepas permohonan untuk mengadakan konsert ditolak. Foto: ONG SOON HIN (SHONG).

LUAHAN hati kekecewaan penyanyi Man Bai yang mendakwa sebuah agensi kesenian bersikap pilih kasih apabila menolak kertas cadangannya untuk mengadakan persembahan mendapat reaksi pihak Istana Budaya yang menepis tuduhan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya ada menerima borang dan kertas cadangan daripada Man Bai pada Ogos 2018 namun ia tidak lengkap.

Manakala penyanyi Datuk Jamal Abdillah menghantar kertas cadangan lebih awal iaitu pada 2017 bagi memohon mengadakan konsert di IB.

ARTIKEL BERKAITAN: Man Bai kesal... Dia minta dulu, M Nasir dan Jamal yang dapat!

"IB ada terima borang dan kertas cadangan daripada pihak Man Bai namun permohanan yang dibuat pada Ogos 2018 tidak lengkap berbanding pihak Jamal yang telah hantar pada 2017.


Mohamed Juhari memberitahu borang dan kertas cadangan Man Bai tidak lengkap.

"Kebiasaan untuk mengadakan sesebuah acara pada tahun yang sama sudah dikira lewat kerana IB menerima permohonan setahun awal.

"Seperti semua sedia maklum, IB sentiasa melancarkan program sepanjang tahun pada setiap awal tahun," Kata Juhari kepada mStar Online.

Juhari diminta mengulas mengenai kenyataan Man Bai yang meluahkan rasa terkilan terhadap pengurusan IB menolak permohanannya untuk mengadakan konsert pada 23 dan 24 Disember tahun lalu.

Menerusi laporan mStar Online pada Khamis, Man Bai memberitahu permohanannya ditolak pada saat-saat akhir disebabkan tarikh tersebut diberikan kepada Jamal untuk Konsert Duo Legenda bergandingan dengan Datuk M Nasir.

Tambah Juhari lagi, setiap permohanan baharu akan dinilai dan sentiasa dibentangkan kepada Ahli Jawatankuasa IB terlebih dahulu.

"Walaubagaimanapun, IB sentiasa membentangkan permohonan baru ke Ahli Jawatankuasa untuk menilai setiap kertas cadangan yang diterima.

Konsert 2V Man Bai + Rahim Maarof akan diadakan pada 6 April depan.

"Namun tarikh yang dimohon oleh pihak Man Bai telah pun diisi dengan program yang terlebih awal membuat permohonan," ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammaddin Ketapi menyarankan selebriti menghantar borang permohanan mengikut tempoh waktu yang telah ditetapkan.

"Kita sentiasa mahukan industri seni negara segar dengan aktiviti dan kementerian amat mengalu-alukan penggiat seni tampil dengan idea baru dan bernas.

"Namun untuk melancarkan pengurusan acara-acara di IB, saya sekali lagi menyarankan agar rakan-rakan artis dapat mengikut tempoh waktu yang ditetapkan jawatankuasa penilai Istana Budaya," katanya.

Man Bai dan Rahim Maarof bakal berganding bahu untuk mengadakan konsert mereka di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTic Kuala Lumpur pada 6 April depan.

Man Bai, Istana Budaya

Artikel Lain