suria

Lega... Batu dalam perut ibu berjaya dibuang - Roslan Shah

Roslan Shah bersyukur apabila ibunya, Mariah Kari sudah sedar selepas menjalani pembedahan pada selasa lalu. Foto Instagram @realroslanshah

PELAKON dan pengacara Roslan Shah dapat menarik nafas lega apabila ibunya, Mariah Kari, 79, sudah sedarkan diri selepas menjalani pembedahan membuang batu dalam perut di Hospital Besar Changi, Singapura pada Selasa lalu.

Roslan berkata, sejak semalam dia berada dalam keadaan tidak tenteram dan bimbang apabila ibunya itu tidak sedarkan diri selepas selesai menjalani pembedahan tersebut.

"Anak mana tidak sedih melihat keadaan ibunya yang terlantar tidak sedarkan diri... Sepatutnya dua ke tiga jam selepas pembedahan dia sudah sedar tetapi itu tidak berlaku.

"Tidak tenteram saya mengenangkan nasibnya tambahan pula sebelum pembedahan doktor sudah memaklumkan ia prosedur berisiko dan meminta kami bersedia terhadap sebarang kemungkinan.

"Alhamdulillah sekitar pukul 6 petang semalam, mak membuka matanya dan kembali sedar... Hanya Allah sahaja tahu perasaan saya ketika itu," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Batu yang berjaya dikeluarkan daripada perut ibu Roslan.

Roslan memberitahu ibunya menjalani pembedahan itu pada pukul 7.30 pagi sebelum ia selesai tiga jam kemudian.

Ibu kesayangannya itu kini berada dalam keadaan stabil namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan sebelum dipindakan ke wad biasa.

Dalam pada itu, Roslan berkata, ibunya dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu selepas mengadu sakit perut serta mengalami muntah berterusan.

Kata Roslan, doktor memberitahu terdapat 12 biji batu dalam perut ibunya yang menyebabkan dia berasa sakit dan ia perlu dikeluarkan segera.

"Atas faktor usia, ia adalah pembedahan berisiko untuk mengeluarkan batu tersebut namun Alhamdulillah pembedahan itu berjaya," ujarnya.

Roslan memuat naik catatan mengenai kebimbangan terhadap kesihatan ibunya di IG.

Roslan menambah, dia sangat bersyukur masih diberi kesempatan untuk berbakti dan menjaga ibunya malah doktor juga terkejut dengan semangat wanitanya itu walaupun sudah berusia.

"Saya masih perlukan mak... Perlukan pelukan seorang mak, mahu tidur bersama mak. Saya sentiasa berdoa agar Allah memanjangkan umur mak," katanya.

Sementara itu, Roslan berkata, dia juga berasa terharu dengan sokongan dan doa diterimanya daripada pengikutnya di laman sosial termasuk rakan artis untuk ibunya.

"Tiada apa yang boleh saya balas selain terima kasih kepada rakan artis, rakan-rakan serta peminat yang tidak putus-putus mendoakan ibu saya.

"Alhamdulillah Allah makbulkan doa anda untuk ibu saya," ujarnya.

Roslan Shah

Artikel Lain