PENYANYI Datuk Awie mengambil pendekatan menjual tiket Konsert Laksamana Metal 2 Generasi Wings dan Bunkface yang bakal diadakan 4 Mei depan secara manual tanpa menggunakan ejen tiket secara dalam talian. Awie yang juga penganjur konsert itu berkata, dia mengambil pendekatan itu kerana ingin mengelak penipuan penjualan tiket oleh ejen seperti mana pernah berlaku kepadanya sebelum ini. “Untuk penganjuran konsert kali ini saya mengambil keputusan menjual tiket kepada peminat secara terus tanpa menggunakan ejen. “Sebelum ini tiga konsert syarikat saya anjurkan penuh dengan penonton tetapi kami terpaksa menanggung kerugian akibat penipuan ejen apabila pulangan yang diperoleh tidak sama dengan yang hadir. “Itu belum lagi ada pihak tidak bertanggungjawab menjual tiket haram termasuk ada yang berani menciplak tiket dan dijual dengan harga murah,” katanya kepada mStar Online. Awie ditemui pada sidang media konsert itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada Selasa. Wings dan Bunkface akan bergabung dalam Konsert Laksamana Metal 2 Generasi Wings dan Bunkface yang bakal diadakan 4 Mei depan. Konsert itu bakal diadakan pada pukul 8 malam bertempat di Dewan Merdeka PWTC. Dalam pada itu, Awie berkata peminat yang ingin mendapatkan tiket menyaksikan konsert itu boleh membuat tempahan dengan ejen Sayap-Sayap Wings dan Bunkers yang akan menjelajah dibeberapa lokasi Semenanjung Malaysia. Katanya, pembeli akan diberi baucar pembelian dan tiket boleh diambil menerusi kaunter PWTC empat hari (1 hingga 4 Mei) sebelum konsert berlangsung. Bercakap mengenai konsert itu, Awie berkata, ia diadakan sebagai perancangan konsert mega Wings bersempena 35 tahun penglibatan mereka dalam bidang muzik tahun hadapan. Awie berkata, bagi memeriahkan sambutan itu, persembahan di Kuala Lumpur mereka mengundang Bunkface yang turut meraikan 12 tahun penubuhan dalam bidang muzik. Bunkface “Bunkface bukan artis undangan dalam konsert ini sebaliknya mereka juga adalah sebahagian daripada acara ini yang turut meraikan 12 tahun dalam industri muzik. “Kami ingin meraikan pemuzik rock daam konsert ini dan Insya Allah pada konsert seterusnya kami akan mengundang kumpulan lain dilokasi berlainan. “Menerusi konsert ini juga kami ingin memperlihatkan ia adalah permulaan perjalanan Wings ke arah sambutan penubuhan kami selama 35 tahun,” katanya. Pada konsert itu nanti kata Awie, Wings dan Bunkface akan menyampaikan rangkaian lagu terbaik mereka termasuk persembahan duet. “Mungkin Bunkface akan menyanyikan lagu Wings dan kami akan menyampaikan lagu Bunkface... Nantikan!,” ujarnya. Tiket bagi menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM150 (100 pembeli pertama akan mendapat barangan edisi terhad) dan RM450 (tiket bernombor serta peluang menyaksikan sesi latihan, barangan edisi terhad dan minum petang). Untuk keterangan lanjut mengenai tiket boleh melayari laman Instagram @sayap2wings dan Facebook Sayap Sayap Wings.