suria

Semua pihak perlu terima kenyataan pedas A.Aida - CEO, TV Media Prima

KETIKA ramai pihak termasuk rakan artis menempelak produser Datuk A. Aida yang menyentuh soal rupa paras individu untuk menjadi artis, pihak TV3 tampil mempertahankan wanita itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata walaupun kenyataan A. Aida itu agak keras namun ia adalah sesuatu yang perlu diterima semua pihak.

“Kenyataan beliau (A. Aida) memang agak keras bagi sesetengah pihak.

“Namun itulah hakikat yang perlu diterima malah kami memahami maksud tersirat yang cuba disampaikannya mengenai keperluan memiliki paras rupa menarik untuk bergelar artis," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak cantik, siapa nak tengok drama? Jangan hipokritlah!” - A Aida turut sekat 500 pengikut

Johan ditemui semasa sesi jelajah di lokasi terakhir Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 yang berlangsung pada Sabtu di sebuah pusat beli belah di Putrajaya.

Johan mengulas mengenai kenyataan penerbit tersebut yang menjadi perdebatan hangat di media sosial sepanjang minggu ini termasuk timbul rasa kurang senang rakan artis.

“Apa yang ditularkan sepanjang minggu ini mengenai kenyataan yang dikeluarkan A. Aida berada diluar konteks yang cuba disampaikan.

"Tidak semestinya mereka yang mempunyai rupa paras tidak menarik gagal menonjolkan bakat lakonan dengan baik namun ia perlulah bersesuaian dengan watak yang bakal dibawa.

“Ramai peserta ‘terperangkap’ dengan hanya cuba membawa watak hero atau heroin yang kebiasaannya memerlukan wajah dan rupa paras yang menarik, mereka juga terlupa ia sebenarnya turut merangkumi aura, keterampilan dan juga karisma yang kelak bakal menjadi pujaan penonton,” katanya.

Dalam pada itu Johan menambah, stesen televisyen peka terhadap permintaan majoriti penonton namun komen negatif mereka cuma sekadar mencari peluang untuk menekan pihak stesen untuk mengikut cita rasa mereka.

“Kami bukan stesyen berbayar, jadi pengambil kira kehendak ramai adalah keperluan utama kami,” katanya.

A. Aida, DFKL 2019

Artikel Lain