suria

Perselisihan faham rahsia 13 tahun Bunkface kekal sebagai sebuah band

Kumpulan Bunkface memberitahu perselisihan faham di antara mereka menjadikan mereka bertambah akrab sebagai sebuah band. Foto ART CHEN

KUMPULAN Bunkface memberitahu tiada sebarang rahsia tertentu dalam mengekalkan hubungan baik sebagai sebuah band selepas 13 tahun bersama.

Vokalisnya, Sam berkata, seperti mana kumpulan lain mereka juga sering berhadapan dengan isu serta salah faham sehingga pernah terfikir untuk berpecah dan membawa haluan masing-masing.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak pernah menjadikan pertelingkahan mereka sebagai alasan untuk tidak lagi bersama sebaliknya ia menguatkan lagi hubungan mereka secara profesional dan peribadi.

"Kalau kata tak pernah gaduh tu tipulah... Pernah kami bertelingkah sampai tahap mahu berpecah dan bawa haluan masing-masing.

"Tetapi disebabkan perselisihan faham itulah membuatkan kami bermuhasabah diri dalam memperbaiki diri selain mula memahami sikap dan personaliti masing-masing.

Bunkface dianggotai oleh Youk (kiri), Sam dan Paan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Penonton penuh tapi rugi... Awie dah tak percaya ejen, ada cara jual tiket konsert

"Pokok pangkalnya kami rendahkan ego kerana sifatlah itulah yang menghancurkan kerjasama profesional dan hubungan peribadi yang dibina," katanya.

Bunkface ditemui pada sidang media Konsert Laksamana Metal 2 Generasi Wings dan Bunkface yang bakal diadakan 4 Mei depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Sam, Bunkface turut dianggotai oleh Youk (gitar bass) dan Paan (gitaris).

Dalam pada itu, Sam berkata, sikap menghormati di antara satu sama lain juga sangat penting dalam mengekalkan hubungan selain tidak menyimpan dalam hati sekiranya timbul sebarang masalah.

Gabungan Wings dan Bunkface bakal gamatkan PWTC pada 4 Mei depan.

"Kerjasama sebagai sebuah kumpulan itu penting... Dari situ juga kita perlu menghormati peranan setiap daripada kita agar tiada masalah berbangkit timbul.

"Kami biasanya kalau ada rasa tak puas hati memang akan terus cakap depan-depan sebab kalau simpan lama-lama itu yang menjadi punca kepada perbalahan lebih besar.

"Alhamdulillah setakat ini cara itu berkesan untuk kami dan Insya-Allah kami akan terus berjuang bersama-sama," ujarnya.

Bercakap mengenai konsert bersama Wings tidak lama lagi, Sam Paan berkata, mereka terus bersetuju apabila ditawarkan oleh pihak Awie Entertainment Sdn. Bhd. kerana ia adalah peluang sekali seumur hidup untuk berkongsi pentas dengan rockers legenda itu.

Berjanji akan memberi persembahan bertenaga pada konsert itu nanti, Paan berkata, mereka juga merancang untuk menyampaikan lagu Wings menerusi konsert itu sebagai tribute kepad kumpulan itu.

Kumpulan rock legendaWings.

"Band mana nak tolak kongsi pentas dengan Wings? Kami memang tak banyak 'bunyi' apabila ditawarkan dan terus terima!

"Wings adalah legenda muzik rock dan ia satu penghormatan buat kami untuk bergandingan dengan mereka pada konsert itu nanti.

"Insya Allah, perancangannya selain menyampaikan lagu-lagu popular kami, Bunkface berhasrat nak sampaikan lagu Wings tapi kena tengok senarai lagu mereka dahulu... Mana lagu yang mereka tak nyanyi, kami akan ambil," katanya.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM150 (100 pembeli pertama akan mendapat barangan edisi terhad) dan RM450 (tiket bernombor serta peluang menyaksikan sesi latihan, barangan edisi terhad dan minum petang).

Untuk keterangan lanjut mengenai tiket boleh melayari laman Instagram @sayap2wings dan Facebook Sayap Sayap Wings.

Artikel Lain