suria

Tak mahu sekadar 'balut' aurat, Che Ta mula ubah cara berfesyen

Che Ta kini lebih selesa berfesyen dengan gaya patuh syariah. Foto Instagram @rozitachewan1

SEJAK kebelakangan ini pelakon Rozita Che Wan dilihat lebih gemar menggayakan pakaian seperti jubah mahu pun baju kurung moden dengan potongan longgar apabila menghadiri acara hiburan termasuk paparan gambar di laman sosialnya.

Rozita atau Che Ta mengakui sejak awal tahun ini dia lebih gemar menggenakan pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuh dalam usaha menggubah citarasanya dalam berfesyen ke arah patuh syariah seperti dituntut dalam Islam.

Jelas ibu kepada tiga cahaya mata ini, selepas beberapa tahun menutup aurat dia tidak mahu hanya sekadar memakai tudung tetapi pemilihan pakaiannya bertentangan dengan imej sebenar seorang muslimah.

"Semenjak awal tahun ini sebenarnya saya sudah mula menggubah kepada fesyen yang lebih patuh syariah dalam usaha menutup aurat dengan sempurna dengan mengenakan pakaian yang longgar.

Che Ta memberitahu dia mahu menutup aurat dengan sempurna dalam usaha memperbaiki dirinya. 

"Saya tidak mahu sekadar 'balut' aurat tapi sebenarnya tidak sempurna malah dosanya sama sahaja dengan tidak menutup aurat.

"Alhamdulillah perlahan-lahan saya cuba ubah ke arah lebih baik dan paling penting istiqomah dalam melakukan sesuatu," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Che Ta mengakui dia mula berasa malu untuk memakai pakaian yang menampakkan bentuk tubuhnya walaupun sebelum ini merasakan ia bukan kesalahan kerana tidak menampakkan auratnya.

Katanya, perubahannya itu bukan secara tiba-tiba sebaliknya hasil daripada banyak mempelajari tentang agama selain pengaruh daripada adik-beradik dan rakan-rakan yang menutup aurat dengan sempurna.

"Kita ni kadang-kadang rasa macam tahu semua benda tetapi apabila kita cari ilmu, kesedaran itu akan timbul dan mahu mengamalkan perkara yang dituntut.

Che Ta bersama suami dan anak-anak. 

"Harus saya akui pada awalnya rasa tak ikhlas juga tetapi menutup aurat dengan sempurna itu adalah wajib... Lama-kelamaan kita akan berasa ikhlas dan mula rasa segan dengan diri sendiri dan orang di sekeliling kita.

"Paling penting kita sedia untuk belajar dan memperbetul kesilapan diri. Alhamdulillah adik-beradik pun selalu juga tegur kalau ada buat silap dan kita betulkan," katanya.

Sementara itu, Che Ta memberitahu pakaian lama yang sudah tidak sesuai dipakai banyak dijual secara prelove dalam usahanya tampil dengan imej lebih baik.

"Hendak pakai rasa segan, nak buang sayang pulak... Jadi saya jual mana-mana pakaian yang sudah tidak sesuai," ujarnya.

Rozita Che Wan

Artikel Lain