LEBIH sinonim sebagai pelakon drama, Saharul Ridzwan memberitahu sudah tiba masanya untuk dia mengorak langkah dalam kariernya sebagai pelakon filem. Saharul berkata, dia sentiasa berharap untuk bergelar bintang filem namun sebelum ini ia tidak dapat direalisasikan kerana komitmennya terhadap drama televisyen. "Sebelum ini memang banyak dapat tawaran filem tetapi memandangkan ia berlanggar dengan jadual sedia ada saya terpaksa menolak. "Mungkin ketika itu bukan rezeki saya tetapi sekarang memang saya sasarkan untuk berlakon filem pula sebagai satu lonjakan dalam karier saya. "Sudah sampai masanya saya 'naik pangkat'... Hendak juga rasa bagaimana berlakon filem," katanya kepada mStar Online. Saharul Ridzwan idam berlakon filem aksi. Saharul ditemui pada sesi uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) yang diadakan di Putrajaya Ahad lalu. Lebih 300 peserta hadir ke sesi uji bakat terakhir itu dan Saharul bertindak sebagai artis undangan membantu persembahan peserta. Dalam pada itu, Saharul berkata, pada tahap ini dia tidak terlalu berfikir mengenai genre filem yang ingin dilakonkan namun menyimpan hasrat muncul dalam karya aksi. "Genre saya tak memilih sangat tapi kalau boleh untuk yang pertama biarlah ia mampu memberi impak kepada penampilan sulung saya. "Drama dan filem adalah dua perkara berbeza dan sebagai pelakon saya mahu merasai 'feel' apabila berada di set penggambaran filem. "Saya memang sudah lama bersedia untuk berlakon filem cuma masih belum ada rezeki sahaja. Harap-harap selepas ini ada peluang untuk saya," katanya. Dalam perkembangan lain, Saharul berkata, selain lakonan tumpuannya kini adalah kepada bisnes yang diusahakan selain baharu sahaja tampil dengan single pertama bersama Ajai berjudul Buku Putih.