suria

Kugiran Masdo tak sangka dapat sambutan luar biasa pertama kali ikut Jelajah Suria

Kugiran Masdo teruja dapat mengikuti siri tahunan Jelajah Suria 2019.

KUGIRAN Masdo teruja apabila pertama kali mengikuti siri tahunan Jelajah Suria di Kuantan, Pahang pada Sabtu lalu mendapat sambutan yang luar biasa.

Selaku vokalis, Ali mengucapkan ribuan terima kasih kepada stesen radio Suria  kerana memberi peluang kepada mereka untuk bertemu peminat di Kuantan City Mall.

"Ini merupakan kali pertama Kugiran Masdo mengikuti siri Jelajah Suria. Kami amat teruja dan tidak sangka menerima sambutan yang amat luar biasa daripada mereka yang hadir.

"Terima kasih kepada Suria FM juga kerana memberi peluang kepada Masdo untuk bertemu peminat di Kuantan. Teruskan menyokong Masdo dan Suria FM,” kata Ali.

Sufian Suhaimi turut memeriahkan siri tahunan Jelajah Suria di Kuantan.

Kugiran Masdo mendendangkan lagu popular mereka iaitu Bercanda Di Malam Indah dan Dinda membuatkan peminat mula berasak ke hadapan pentas menyaksikan persembahan mereka dengan lebih dekat.

Persembahan Kugiran Masdo ini turut disiarkan secara langsung menerusi frekuensi SURIA di seluruh Semenanjung Malaysia dan menarik lebih 15,000 jumlah tontonan menerusi platform media sosial Facebook Suria FM.

Penyampai Suria iaitu Issey turut meluahkan rasa teruja apabila penonton terhibur dengan nyanyian lagunya, Alololo.

Menurut Issey, penerimaan orang Kuantan terhadap single pertamanya itu membuktikan bahawa sasaran lagu tersebut untuk menghiburkan orang ramai itu ternyata menjadi.

Penampilan istimewa penyampai Suria, Tyzo (dari kiri), Sharifah Shahirah dan Suraya.

Dalam pada itu, selain Issey dan Kugiran Masdo, jelajah kedua Suria turut menampilkan beberapa artis jemputan seperti Sufian Suhaimi, Nabila Razali, Amir Masdi, Nizam Laksamana, Fieya Julia, Siti Sarah dan Kucaimars.

Siri jelajah itu juga dimeriahkan dengan penampilan istimewa penyampai-penyampai Suria seperti Fizi Ali, Cik Piah, Sharifah Shahirah, Tyzo, Suraya dan DJ Lin.

Selain menyaksikan persembahan artis, pengunjung yang hadir turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti pentas seperti Kutu Karoks, Cuci Lagu Suria dan permainan pentas lain yang menawarkan wang tunai dan barangan eksklusif Suria FM.

Kemeriahan siri tahunan Jelajah di lokasi kedua, Kuantan City Mall.

Pertandingan Kutu Karoks merupakan antara aktiviti yang paling dinanti setiap kali Jelajah Suria.

Seawal jam 12 tengah hari lagi, peserta kelihatan beratur bagi mendaftarkan diri untuk menyertai pertandingan yang menawarkan wang tunai berjumlah hampir RM500 dan hamper tajaan syarikat rakaman FMC.

Lokasi Jelajah Suria seterusnya diadakan di AEON Station 18, Ipoh pada Sabtu ini yang akan menampilkan kesemua penyampai Suria dan artis jemputan seperti Andi Bernade, Amir Ukays, Adira, Izzue Islam, Amir Masdi, Siti Nordiana, Tajul, Fareez Fauzi, Muna Syahirah, Naim Daniel dan Vicha.

Artikel Lain