suria

Takut nak tinggalkan anak kepada pengasuh, Dazrin sanggup usung sana-sini

PELAKON Dazrin Kamarudin memberitahu dia dan isteri sepakat memilih untuk menjaga sendiri anak sulung mereka iaitu Dasuki tanpa bantuan pengasuh.

Menurut Dazrin, 30, isu penderaan kanak-kanak membabitkan pengasuh membuatkan dia takut dan bimbang untuk meninggalkan bayi lelaki berusia setahun itu kepada orang luar.

"Saya dan isteri jaga anak sendiri, tiada pembantu sebabnya sekarang ini macam-macam cerita kita dengar tentang pengasuh membuatkan saya takut nak biarkan anak dijaga orang lain.

Dazrin mahu melihat perkembangan anak.

"Saya tengok kawan-kawan lain boleh jaga anak tanpa pembantu, jadi kenapa saya dan isteri tak boleh. Bagi saya inilah masa untuk kami belajar membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

"Dalam usia yang masih kecil itu, biarlah dia dijaga ibu bapanya sendiri dan saya mahu dia membesar di depan mata kami," katanya kepada mStar Online.

Pelakon drama My Darling, Inspektor Daniel ini berkahwin dengan Nur Fazulin Razali pada Mei 2017 dan menimang cahaya mata sulung pada 13 April tahun lalu.

Sementara itu, meskipun terikat dengan jadual kerja yang padat, Dazrin memberitahu dia tetap membawa anak sulungnya itu ke mana sahaja termasuk lokasi tugasan.

Dazrin dan isteri sepakat menjaga anak tanpa bantuan pengasuh.

"Kalau ada tugasan luar negeri, saya tetap akan bawa anak. Contohnya, menguruskan perniagaan di Singapura, saya akan usung sekali. Saya buat begini kerana tak mahu tertinggal pengalaman dia membesar walaupun sesaat.

"Apabila anak ada depan mata, rasa penat pun hilang dan keletah anak ibarat terapi jiwa untuk saya.

"Dalam soal bisnes, anak saya sudah ada jenama baju sendiri, jadi kalau kita bawa dia kerja pun ada makna. Alhamdulillah, buat masa ini semua okay dan saya boleh kawal," katanya.

Artikel Lain