PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza berbesar hati apabila dipilih golongan ustaz untuk memeriahkan Makan Malam Amal bersempena Karnival Mahabbah 1.0 yang bakal berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 24 April ini. Siti, 40 berkata, tawaran untuk terlibat dalam majlis keagamaan ini merupakan satu tanggungjawab buat dirinya dalam mengajak orang ramai ke arah yang lebih baik. "Alhamdulillah apabila kita dihargai oleh insan yang saya panggil ulama. Bagi saya, ia satu hikmah dan keberkatan apabila orang sayang dan suka kita. "Setelah melihat kepada masa serta izin suami, saya bersama pihak penganjur dapat teruskan kerjasama ini dengan mudah. Saya juga berharap ramai yang akan datang pada karnival ini sama seperti ramai yang telah datang pada konsert saya sebelum ini," ujarnya. Beliau ditemui pada sidang media Karnival Mahabbah 1.0 di The Pearl, Kuala Lumpur, pada Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: 'Jaga Dia Untukku' undang sebak, Siti imbau insiden Datuk K kemalangan di New Zealand Siti bakal menjayakan Makan Malam Amal bersempena Karnival Mahabbah 1.0 Dalam pada itu, penyanyi lagu Anta Permana ini berkata, golongan artis dan ulama perlu bekerjasama dalam melakukan perkara-perkara yang keagamaan. Tambahnya, dia percaya terdapat artis lain yang mempunyai keinginan untuk terbabit dalam program seperti itu. "Kita kena saling bekerjasama. Saya berasakan bukan saya seorang saja yang disukai, tapi ramai lagi artis lain disukai yang membawa imej baik. Cuma, kita harus panggil untuk sama-sama terbabit. "Dalam diri kita ada keinginan masing-masing. Di satu sudut hati kita begitu halus pada perkara yang membabitkan agama. Tinggal lagi nak jemput dan panggil turut serta,” katanya. Dalam pada itu, Pengarah Program Mohd Hadzullah Ahmad Tahir memberitahu pemilihan Siti Nurhaliza berikutan beliau adalah selebriti yang mempunyai imej bersih dan disukai ramai. "Kita memilih Datuk Siti Nurhaliza kerana beliau salah satu artis yang kurang kontroversi dan disukai ramai termasuk golongan ustaz. "Alhamdulillah, Allah memudahkan kerja kami untuk berhubung dengan pengurusnya dan kami dapat meminang beliau dengan senang," katanya. Pada majlis tersebut, Siti bakal menyanyikan tujuh buah lagu kerohanian termasuk Padamu Ku Bersujud yang dipopularkan penyanyi Indonesia, Afgan. Selain Siti, makan malam amal itu turut membabitkan kumpulan nasyid Hijjaz. Karnival ini bakal berlangsung selama lima hari bermula 24 hingga 28 April ini. Pembelian meja mempunyai tiga kategori bermula kategori Silver berharga RM2000, kategori Gold iaitu RM3000 dan kategori platinum RM5000.