suria

Waris turunkan ego, terima kerjasama dengan penyanyi baharu

Waris akui pada awalnya tidak kenal Xpose Band.

PENYANYI Waris mengakui sebelum ini dia seorang yang sangat cerewet dalam memilih pasangan duet atau kerjasama dengan mana-mana penyanyi terutama yang masih baharu.

Bagaimanapun, Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias, 30, berkata, selepas beberapa tahun dalam industri dia lebih terbuka dan memberi peluang kepada pendatang baharu.

“Sejujurnya sebelum ini saya seorang yang sangat cerewet dalam memilih penyanyi untuk berkolaborasi dalam sebuah lagu terutama penyanyi yang masih baharu dalam industri.

“Tapi sekarang, saya turunkan ego dan mahu lebih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana artis asalkan muzik yang dibawa itu kena dengan cita rasa saya.

“Semenjak sudah menjadi ayah ni, saya rasa lain. Memang kita nak semua sempurna dalam perkataan anak tapi sebenarnya susah. Sama juga macam dalam bidang muzik ni,” kata Waris kepada mStar.


Waris lancar lagu berkolaborasi bersama Xpose Band.

Penyanyi rap yang terkenal dengan dialek Negeri Sembilan ini ditemui ketika majlis pelancaran single dan video karaoke lagu bersama Xpose Band di Red Box, The Gardens Mall, Mid Valley pada Selasa.

Dalam pada itu, penyanyi lagu This Is Pilah memberitahu sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan mana-mana kumpulan dalam sebuah lagu yang berkonsepkan rock.

Tambahnya, dia tidak mengenali Xpose Band dan hanya mengetahui lagu-lagu mereka yang dimainkan di radio.

“Sejujurnya saya tak mengenali Xpose Band. Saya tahu lagu mereka sebab keluar radio tapi saya tak kenal siapa kumpulan disebalik lagu tersebut.

“Lagu Deru ini merupakan kerjasama antara pihak syarikat rakaman saya iaitu Mixology Music dan SRC Records. Saya tak tahu pun fasal kolaborasi ini, tiba-tiba DJ Fizz suruh masuk studio.

“Rupa-rupanya mereka mahu gandingkan saya dengan Xpose Band untuk lagu tersebut. Kebetulan saya memang sudah lama impikan untuk ada kolaborasi dalam sebuah lagu berkonsepkan rock,” ujarnya.

Lagu Deru sudah dilancarkan di saluran YouTube sejak 4 April lalu dan kini mencecah lebih 503,000 tontonan. 


Artikel Lain