suria

Noryn Aziz kesal tindakan netizen kecam tanpa sedikit pun rasa hormat terhadap artis

Noryn memberitahu tidak semua artis yang sengaja mengundang diri mereka untuk dikecam.

PENYANYI Noryn Aziz mempersoalkan tindakan segelintir netizen yang gemar mengkritik dan menghukum seseorang artis tanpa rasa belas kasihan. 

Menurut Noryn atau nama sebenar Norazmahwati Abdul Aziz, 43, netizen sepatutnya menghormati dan menghargai bakat lakonan atau nyanyian seseorang selebriti itu.

"Saya melihat cara netizen mengkritik artis sampaikan mereka menghukum tanpa memikirkan artis itu juga adalah manusia biasa.

"Mereka perlu ingat, artis itu menghiburkan mereka dari segi lakonan atau nyanyian.

ARTIKEL BERKAITAN: “4 tahun lepas sis merupakan makcik-makcik tiada keyakinan diri,” - Noryn Aziz


Noryn minta netizen henti kecam artis tanpa sebab.

"Jadi, bakat mereka perlu dihargai dan sepatutnya netizen kena ada rasa hormat terhadap golongan selebriti," kata Noryn kepada mStar.

Sebelum ini, pelakon dan penyanyi Zara Zya meluahkan rasa kecewa dan sedih apabila menerima kecaman teruk netizen.

Tambah Noryn, ada juga segelintir artis yang sengaja mencipta kontroversi dan mengundang diri sendiri untuk dikecam.

"Ada juga segelintir artis yang memang sengaja cipta sesuatu dan mengundang dirinya untuk dikecam netizen.

"Tapi ada juga yang dikecam disebabkan kesalahan yang tidak disengajakan. Namun ia boleh dijadikan pengajaran dan pengalaman," ujarnya.

Noryn hanya biarkan sahaja kecaman netizen terhadapnya.

Dalam pada itu, juara Gegar Vaganza musim kelima (GV5) ini memberitahu dia juga pernah dikecam namun memilih untuk enggan membesarkan perkara itu.

Katanya, dia menyedari kritikan netizen itu tidak memberi kesan kepada kehidupan sehiariannya.

"Saya juga pernah kena kecam dan kritik tapi selalunya saya padam komen tu dan hanya membiarkan sahaja perkara itu.

"Saya tahu benda itu tidak memberi kesan pun pada kehidupan saya. Kalau beri kesan pun, hanya sekejap sahaja.

"Semua manusia melalui perkara itu berbeza dan bagi saya, tak ada faedahnya nak melayan netizen yang kecam tanpa sebab," katanya.

Noryn Aziz

Artikel Lain