PENYANYI Haqiem Rusli menafikan dakwaan segelintir pihak yang menganggap dia 'anak emas' syarikat rakaman FMC Music Sdn Bhd. Haqiem, 21, berkata dia dan rakan-rakan yang di bawah syarikat yang sama seperti Wany Hasrita dan Tajul dilayan sama rata. Malah, penyanyi lagu What Can I Do For You ini enggan melayan kenyataan daripada 'mulut-mulut jahat'. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya takut disoal jika anda tinggalkan solat” - Haqiem Rusli minta peminat tak lalai dengar lagunya Lagu Jatuh Bangun diumum sebagai Lagu MeleTOP. "Dalam industri muzik ni kita tak boleh ada perasaan hasad dengki dan kita kena ikhlas dengan setiap apa yang kita lakukan. "Saya tak nak cakap saya ni 'anak emas' syarikat nanti dikatakan berlagak pula tapi ramai nama-nama besar dalam FMC antaranya Wany Hasrita dan Tajul. "Kami saling membantu dan semuanya dilayan sama rata. Sebab tu, saya tak nak layan kenyataan daripada mulut-mulut jahat," katanya kepada mStar. Haqiem menafikan dia bakal keluar dari syarikat rakaman. Dalam pada itu, penyanyi lagu Jatuh Bangun ini turut menyangkal dakwaan yang mengatakan dia bakal keluar dari syarikat rakaman tersebut. Menurut Haqiem, dia selesa diuruskan syarikat itu dan sudah menganggap semua yang terlibat seperti keluarga. "Tak adalah. Malah, saya mungkin akan ikat kontrak lebih lama dengan FMC kerana sangat selesa dengan mereka yang dianggap seperti keluarga. "Syarikat itulah yang mengambil saya ketika saya tidak ada apa-apa. Jadi saya tidak akan keluar," ujarnya.