suria

Hidap komplikasi jantung, Uyaina batal percutian ke Austria

PENGACARA Uyaina Arshad terpaksa melupakan hasrat untuk bercuti ke Austria ketika musim panas di negara itu selepas disahkan menghidap penyakit jantung beberapa minggu lalu.

Uyaina berkata, dia juga terpaksa menjalani kehidupan berbeza apabila tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti lasak disebabkan penyakitnya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Uyaina disahkan sakit jantung, ulas foto kurang sopan ketika tonton konsert

ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah tak jadi pengacara 'Nona', Uyaina juarai Puteri Muslimah Asia 2018

"Sebenarnya bulan Julai ini saya akan ke Austria untuk bercuti.

"Saya rancang untuk cuba aktiviti ekstrem ketika musim panas di sana seperti paragliding dan bungee jumping...

"Tapi terpaksa batalkan sebab doktor tak bagi langsung saya buat aktiviti-aktiviti lasak. Semua tu saya dah tak boleh nak buat," katanya kepada mStar.

Selain itu, pengacara program Wanita Hari Ini (WHI) ini memberitahu dia kini terpaksa lebih berhati-hati dalam soal makanan selain perlu bijak mengawal emosi.

"Sekarang ni saya bergantung pada ubat-ubatan dan rawatan dan alhamdulillah keadaan kesihatan saya semakin baik.

"Cumanya sekarang ni saya tak boleh terlalu tertekan atau terlebih gembira dan tak boleh terlalu sedih dalam satu-satu perkara. Saya terpaksa belajar kawal emosi.

"Saya juga tak boleh langsung minum kopi dan juga makan kambing kerana ia membuatkan jantung saya menjadi laju," ujarnya.

Uyaina dimasukkan ke hospital pada 12 Mac lalu dan menjalani rawatan selama tiga hari sebelum disahkan menghidap sakit jantung.

Uyaina sebelum ini dimasukkan ke hospital selepas kerap pengsan akibat masalah tekanan darah rendah.

Pelakon berusia 26 tahun ini bagaimanapun terkejut apabila doktor mengesahkan dia mempunyai masalah pada jantung.

Dalam pada itu, Uyaina turut meminta peminat mendoakan kesihatan jantung yang dialaminya bertambah baik.

"Memang betul, saya menghidap komplikasi jantung.

"Sebulan lepas saya dimasukkan ke hospital dan waktu itu baru tahu saya disahkan sakit jantung.

"Doakan yang baik-baik untuk saya," katanya.

Uyaina Arshad, sakit jantung

Artikel Lain