suria

"Buang ego yang bersifat syaitonirrajim" - Norman Hakim kongsi petua untuk keluarga bercerai

Hubungan baik mereka menjadi inspirasi dan contoh kepada pasangan lain yang melalui proses bercerai.

HUBUNGAN baik pelakon Norman Hakim dengan keluarga bekas isterinya sering menjadi contoh hingga ramai dalam kalangan netizen meminta nasihat mengenai cara untuk menyatukan semula ibu bapa yang sudah bercerai.

Kata Norman atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 43, ibu dan bapa yang sudah tidak bersama perlu membuang ego dan berdoa serta berusaha memperbaiki hubungan yang terputus.

"Khusus buat ayah dan mak yang berpisah, mungkin kalian tak tahu anak-anak kalian selalu DM saya minta pandangan dan nasihat macam mana nak ayah dan mak mereka bersatu macam abang Norman dan kak Abby.

"Jadikanlah Ramadan ini sebagai platform untuk penyatuan semula. Buangkanlah ego yang bersifat syaitonirrajim untuk ambil langkah dan usaha seiring dengan doa. Percaya dan yakinlah, doa adalah senjata mustajab kita sebagai muslim," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hubungan Baik Norman, Abby Patut Jadi Contoh


Norman dedah terima mesej daripada netizen meminta nasihatnya bagaimana untuk menyatukan semula ibu bapa sudah bercerai.

Norman berkongsi perkara tersebut di Instagram selepas menerima banyak mesej daripada netizen yang ingin tahu rahsia hubungan baiknya dengan bekas isteri, Abby Abadi.

Sebelum ini, hubungan Norman dan Abby sering terpalit dengan kontroversi sehinggalah mereka memutuskan untuk bercerai.

Biarpun masing-masing sudah mempunyai keluarga baharu, namun keakraban hubungan kedua keluarga itu menjadi contoh dan inspirasi kepada pasangan lain yang turut melalui proses perceraian.

Dalam pada itu, Norman menasihati ibu bapa yang memilih untuk berpisah supaya kembali bersatu dalam apa jua bentuk dan usaha demi kebahagian anak-anak.

Keluarga Norman dan Abby bersatu.

"Buat adik-adik dan anak-anak yang selalu DM serta luahkan rasa, terus istiqamah dalam berdoa. Dan buat Ayah dan Ibu yang berpisah, bersatulah kembali dalam apa jua bentuk dan usaha.

"Hentikanlah pertengkaran, tinggalkanlah sangkaan. Binalah perhubungan, saling bermaafan dan hayatilah Ramadan," ujarnya.

Norman dan Abby bercerai pada 2008 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisha Hakim, 11.

Norman kemudian berkahwin dengan Memey pada 24 September 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Muhammad Darwisz Hakim, 6, Muhammad Dikhriz Hakim, 4, dan Mikayla Delisha Hakim yang kini berusia 10 bulan.

Manakala Abby pula berkahwin dengan Muhammad Faizal Zakaria atau Jaiezzany pada 2015 dan mempunyai dua orang anak angkat.

Artikel Lain