suria

Melampau! 45 akaun pedofilia guna nama, foto Wani Kayrie ketika usia 10 tahun

Lebih 45 akaun palsu menggunakan nama Syazwani Sapari dikesan meninggalkan komen berbaur lucah terhadap kanak-kanak.

PENYANYI Wani Kayrie terkejut apabila menyedari tindakan individu yang menggunakan nama serta gambarnya bagi menjalankan aktiviti gangguan seksual di laman sosial Facebook.

Bengang dengan sikap tidak bertanggungjawab itu, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 19, berkata dia kini sedang mengumpul bukti dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu itu dalam masa terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Wani Kayrie hadapi tekanan pilih lagu sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: “Cukuplah lima tahun” - Wani Kayrie

"Saya tidak menyedari mengenai perkara itu sehingga rakan-rakan terdekat yang memberitahu saya. Mereka tanya betul ke apa yang saya buat dekat Facebook sedangkan saya sudah lama tidak menggunakan Facebook.

"Mereka menggunakan nama Syazwani Sapari. Sedangkan itu adalah nama komersial saya selepas menyertai program realiti ‘Kamilah Bintang’.

"Saya sedang mengumpul bukti dan akan buat laporan polis kemudian muat naik di media sosial saya supaya mereka tengok sendiri bukti-bukti itu, ujarnya ketika dihubungi mStar.


Sebanyak 45 akaun palsu menggunakan nama Syazwani Sapari dikesan di laman Facebook.

Terdahulu, sebanyak 45 akaun Facebook palsu menggunakan gambar dengan nama Syazwani Sapari dikesan melakukan gangguan seksual dengan meninggalkan komen-komen berbaur lucah pada beberapa keping foto kanak-kanak perempuan di laman sosial.

Perkara itu disedari seorang lelaki yang kemudiannya memuat naik catatan meminta orang ramai untuk berhati-hati terhadap akaun berkenaan.

Perbuatan tidak bermoral itu dipercayai dilakukan suspek pedofilia dan menjadi viral di media sosial.

Dalam pada itu, Wani berkata insiden berkenaan sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya yang sedang berdepan beberapa peperiksaan di universiti.

Wani Kayrie bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tidak bertanggungjawab.

"Saya tidak tahu menahu mengenai kewujudan kesemua 45 akaun menggunakan nama Syazwani Sapari dengan gambar saya masa kecil dan semuanya aktif.

"Mereka guna nama saya dan hantar benda seksual kepada anak-anak orang lain yang melibatkan nama saya. Bermula pada itu ramai yang dm membuatkan saya rasa perkara ini semakin serius.

“Sampaikan kawan-kawan kolej saya sudah ramai yang sudah tahu. Sedikit sebanyak perkara ini mengganggu saya kerana saya baru sahaja mula masuk belajar," katanya.

Selain itu, Wani turut meminta orang ramai khususnya ibu bapa untuk lebih berhati-hati dan mempertimbangkan apa-apa posting melibatkan gambar anak mereka di laman sosial.

Wani Kayrie berumur 10 tahun ketika menyertai program Kamilah Bintang.

"Ada yang beritahu individu yang melakukan perkara itu berkemungkinan pemilik sama kepada profile akaun palsu lain. Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan dan mereka akan membantu saya mencari bukti kukuh untuk buat report nanti.

"Nak beri nasihat kepada ibu bapa, mereka mungkin lebih mahir menjaga anak.

"Cuma kalau boleh elakkan daripada berkongsi gambar anak-anak yang boleh menaikkan nafsu seseorang," katanya.

Artikel Lain