suria

Anak gadis minat Blackpink, Yasin Sulaiman bagi lampu hijau... “Biasalah budak-budak”

Yasin beri kebebasan untuk anak keduanya, Malaika.

PENYANYI dan komposer Yasin Sulaiman berkata anak perempuannya, Malaika, 11, tidak terlepas dengan tempias populariti muzik K-pop yang melanda seluruh dunia.

Bagaimanapun Yasin, 44, tidak melihat perkembangan itu sebagai sesuatu yang tidak sihat sungguhpun anaknya itu mula menunjukkan minat terhadap lagu-lagu nyanyian kumpulan sensasi Blackpink sejak kebelakangan ini.

Yasin dedah anaknya juga tidak terlepas daripada meminati musik K-Pop.

“Kedua-dua anak saya sudah mula menunjukkan minat dalam bidang seni, anak pertama iaitu Sameer yang berusia 15 tahun lebih menjurus ke arah bidang lukisan manakala Malaika pula mula menunjukkan minat ke arah muzik K-Pop.

“Namun saya tidak berhasrat menghalang perkara yang mereka suka... biasalah budak-budak. Saya beri kebebasan dan tidak memaksa meteka untuk jadi komposer dan penyanyi seperti yang saya lakukakan," kata Yasin kepada mStar.

Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Mimpi Laila ini berkata Kumpulan Brothers yang dianggotainya sejak 1995 masih lagi bergerak aktif sehingga kini.

Dia berkata demikian apabila ada pihak yang menyangka Brothers sudah berkubur kerana terus menyepi selepas menyertai program Gema Gegar Vaganza 2018 (GGV) tahun lalu.

Blackpink raih perhatian seluruh dunia.

“Baru-baru ini pihak pengurusan ada memuat naik status di media sosial menjelaskan kumpulan Brothers masih lagi teguh berkarya, ini kerana mungkin ada yang menyangka kami sudah bubar selepas lama menyepi sebaik sahaja tamat program GGV yang kami sertai tahun lalu.

“Malah kami sedang menjalani proses merakamkan single terbaharu kolaborasi bersama kumpulan Mirwana berjudul Tiga Satu Tiga," kata Yasin.

Dalam perkembangan lain, Yasin baru sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Malaika.

Yasin juga berkata dia bakal melancarkan sebuah album berkonsep pop mengandungi lapan buah lagu tidak lama lagi.

Yasin tujukan single Malaika khas buat anak keduanya.

“Lagu Malaika memang ditujukan buat anak kedua saya, malah dia sendiri tahu lagu tersebut dibuat tentang dirinya.

“Saya juga sedang giat menyiapkan album solo keempat yang akan siap dalam masa terdekat, ada yang bertanya mengapa saya masih gigih membuat album penuh? Jawapannya mudah, ini sahaja saya pandai lakukan,” tambah Yasin.

yasin sulaiman

Artikel Lain