suria

Hubungan Sharnaaz dan isteri dalam proses pemulihan, anak terkena jangkitan saluran kencing

PELAKON Sharnaaz Ahmad memberitahu hubungan rumah tangganya dengan Noor Nabila Mohd Noor kini dalam proses pemulihan.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 34, berkata dia lebih mengutamakan anak lelakinya Jebat Jayden Ahmad yang kini mengalami jangkitan saluran kencing sejak beberapa bulan lalu. 

"Saya tak pernah cakap rumah tangga saya bermasalah tapi apa yang boleh saya katakan hubungan kami dalam proses pemulihan. 

"Sekarang ini keutamaan saya adalah Jebat yang kini sedang dalam rawatan disebabkan mengalami jangkitan saluran kencing sejak beberapa bulan lalu," kata Sharnaaz kepada mStar

Sharnaaz ditemui ketika Iftar Ramadan dan Sumbangan Duit Raya Megapine Sdn Bhd bersama anak yatim di Hotel Zenith, Putrajaya, pada Isnin. 

Dalam pada itu, Sharnaaz reda dan terima apa sahaja ketentuan Allah dan menganggap kemungkinan keadaan anaknya yang kini sakit merupakan pengikat hubungannya dengan Nabilah. 

Sharnaaz lebih mengutamakan anak lelakinya, Jebat Jayden yang kini mengalami jangkitan saluran kencing. 

Kata pelakon drama Cinta Bukan Kristal ini, dia dan Nabila masih perlu banyak belajar untuk menjadi suami-isteri. 

"Apa yang terjadi atas ketentuan Allah dan saya reda serta terima apa yang Allah dah susun. Mungkin ini (masalah kesihatan Jebat) adalah pengikat hubungan saya dan isteri.

"Saya dan Nabila kena belajar sebab kami tidak sempurna. Saya cuma nak jadi suami dan dia pun nak jadi isteri namun kita tak tahu kesudahan macam mana,"ujarnya. 

Khabar angin mengenai dakwaan keretakan rumah tangga pelakon Sharnaaz Ahmad dan isteri, Noor Nabila Mohd Noor mula diperkatakan sejak Februari lalu. 

Sharnaaz dan Nabila, 35, berkahwin pada 31 Mac 2017 dan pasangan itu dikurniakan cahaya mata lelaki pada 30 Ogos tahun lalu.

Sharnaaz Ahmad

Artikel Lain