SEIRING dengan perkembangan muzik, kumpulan Hijjaz tampil dengan kelainan baharu apabila memilih untuk menyanyikan lagu nasyid dengan gabungan irama rap. Menurut salah seorang anggota Hijjaz iaitu Munif Ahmad, idea itu tercetus setelah dia menerima maklum balas positif peminat terutamanya golongan muda. "Percubaan pertama kita menyanyi lagu rap di Konsert Akhir Gema Gegar Vaganza 2017 mendapat pujian ramai. "Jadi bermula di situ tercetusnya idea untuk menghasilkan lagu baharu yang berunsurkan irama rap, ia sebagai ruang untuk menarik generasi muda mendengar lagu nasyid. Hijjaz bawa kelainan dalam muzik. "Sekarang ini orang muda ramai suka rap, jadi kita ikut lah. Kalau ramai suka lagu nasyid rap, kita buat satu album nanti," katanya. Bercerita lanjut mengenai projek itu, Munif berkata Hijjaz bakal melancarkan lagu Lafaz Salam yang menampilkan Jeff A to Z sebagai penyanyi rap. Bagaimanapun, Munif mengakui pada awalnya berasa bimbang dengan reaksi peminat memandangkan ini percubaan pertama mereka menyanyikan lagu rap. Hijjaz hiburkan peminat di Majlis Iftar @ Garden Palace, D'Saji Titiwangsa, KL sepanjang bulan Ramadan ini. "Alhamdulillah, tak ada yang kecam sebab mereka memang tunggu lagu genre ini. Lagipun peminat yang minta, jadi kita cuba. "InsyaAllah, semoga irama nasyid ini berjaya menarik lebih ramai pendengar tak kira tua atau muda," ujarnya. Selain Munif, Hijjaz turut dianggotai oleh Isman Nadim Isam, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim.