suria

“Jangan buka aib suami, tahu dosa dan pahala” - Amar Asyraf

Isteri harus menjaga aib suami dan begitulah sebaliknya. Foto Instagram @amar_asyraf

PELAKON Amar Asyraf berpendapat adalah tidak wajar jika seorang isteri membuat luahan mengenai suami mereka di laman sosial.

Menurut Amar, 32, dalam hubungan rumah tangga adalah lebih baik pasangan itu duduk berbincang tanpa perlu mengaibkan mana-mana pihak.

"Mereka yang sudah berkahwin mesti tahu serba sedikit hal berkaitan rumah tangga ini, kalau ada sesuatu isu lebih baik berbincang secara dalaman tak perlu nak luahkan di laman sosial.

"Apabila isteri buat begitu, secara tak langsung membuka aib suami, dari orang tak tahu masalah kita terus jadi tahu, begitu juga sebaliknya.

"Tak fasal-fasal menggalakkan orang luar untuk sama-sama mengata dan menambah dosa," katanya kepada mStar.

Amar bahagia bersama anak dan isteri.

Amar Asyraf ditemui di tayangan program khas raikan Indahnya Syawal RTM 2019 bertempat di KL Gateway, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Lakonan mantap Amar boleh disaksikan menerusi drama Mana Ada Hantu Malam Raya yang bakal bersiaran di TV1 pada malam 1 Syawal nanti.

Sementara itu, pelakon drama Setia Hujung Nyawa ini berkata perkongsiannya itu tidak merujuk pada mana-mana selebriti.

Sebaliknya bersifat terbuka untuk semua pihak termasuklah pengikut dan peminatnya yang sudah berkahwin.

"Pandangan ini untuk semua, tak kiralah sesiapa pun, kalau benda berbincang selesaikan sendiri, aib masing-masing perlu dijaga dan yang paling penting tahu dosa dan pahala.

"Saya ada beberapa contoh kenalan yang menghadapi masalah rumah tangga tapi masih boleh kawal perasaan sampaikan kita yang berada disekeliling dia pun tak perasan," ujarnya.

Pengurusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bergambar bersama selebriti yang terlibat dalam program raya RTM.

Dalam perkembangan lain, Amar memberitahu dia kini sedang menantikan cahaya mata kedua yang dijangka akan dilahirkan pada hari raya kedua ini.

"Insya-Allah isteri saya dijangka bakal melahirkan anak kedua kami pada Syawal ini.

"Akhirnya impian saya untuk dapat baby girl pula hampir tercapai. Doakan semoga semuanya dipermudahkan," ujarnya.

Amar mendirikan rumah tangga dengan Arna Salleh pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Amar Taufiq pada 9 Julai 2014.

Amar Asyraf

Artikel Lain