suria

Lima tahun berkahwin, Idayu mula rimas ditanya soal anak

Idayu akui berasa rimas apabila kerap ditanya soal anak. Foto: @nazreen.amran @mhaakim_.

LIMA tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Idayu mengakui sudah mula rimas dengan pertanyaan segelintir pihak berkaitan kehadiran cahaya mata.

Menurut Idayu atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaakob, 34, individu yang sering bertanya perkara itu pasti berfikir bahawa dia atau suami mempunyai masalah kesuburan.

"Sudah tentu saya ada perasaan rimas dan malu juga apabila saya kerap ditanya mengenai bila nak dapat anak.

"Dalam hati saya, mesti mereka bertanya itu fikir yang salah seorang antara saya atau suami mempunyai masalah.

Idayu sudah membuat pemeriksaan dan semuanya okey.

"Sebelum ini memang saya ada masalah datang bulan tak tentu mungkin disebabkan tekanan kerja dan Alhamdulillah, sekarang dah okey," katanya kepada mStar.

Idayu ditemui ketika majlis iftar bersama penyanyi-penyanyi lagu tema drama bersiri Nur di Meet & Dine, Sungai Long, Cheras baru-baru ini.

Selain Idayu, majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Marsha Milan, Amylea Azizan dan Indah Ruhaila.

Dalam pada itu, juara AF Megastar 2017 itu memberitahu dia sudah membuat pemeriksaan kesihatan dan meminta peminat untuk mendoakan yang terbaik untuk mereka mendapatkan zuriat.

Idayu dan suami masih berusaha untuk dikurniakan cahaya mata.

"Alhamdulillah, saya dah buat pemeriksaan doktor dan semuanya okey sahaja. Sekarang ini, memang dah bersedia untuk ada anak.

"Saya dan suami pun tidak pernah berhenti mencuba. Insya-Allah, ada rezeki untuk kami.

"Saya harapkan semua peminat dapat mendoakan yang baik-baik sahaja untuk saya dan suami," ujarnya.

Idayu dan suaminya, Shahrul Fadzil, 35, mendirikan rumah tangga pada 2014.

Idayu

Artikel Lain