suria

Google doodle istimewa sempena ulang tahun kelahiran Sudirman

Google sediakan doodle istimewa sempena ulang tahun kelahiran Sudirman.

GOOGLE memberi penghormatan kepada penyanyi legenda Malaysia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dengan menyediakan lakaran atau doodle istimewa sempena ulang tahun kelahiran ke-65 penyanyi itu pada Sabtu.

Doodle itu dihasilkan bagi mengenang percapaian dan perjalanan seni Sudirman sebagai penyanyi, penulis, komposer, dan pelakon yang pernah mengangkat nama Malaysia ke pentas dunia.

Google menyenaraikan biografi dan pencapaian cemerlang penyanyi tersebut yang memiliki bakat besar sehingga menyumbang kepada industri seni tanah air.

"Sebelum menjadi salah seorang penghibur popular di Asia, Sudirman bekerja sebagai seorang wartawan dan peguam.

"Kerjayanya melonjak selepas memenangi pertandingan di Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM), dan namanya mula dikenali di negara jiran iaitu Singapura, Brunei, dan Indonesia.

"Pada 15 April 1986, lebih 100,000 peminat berkumpul di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur menyaksikan persembahannya. Sudirman diangkat menggunakan kren dan menghiburkan ramai peminat tanpa mengira bangsa," tulis Google.

Sudirman hiburkan peminat semasa persembahan di Jalan Chow Kit, KL.

Penyanyi lagu Salam Terakhir ini dilahirkan di Temerloh, Pahang pada tahun 1954 dan meninggal dunia akibat radang paru-paru pada usia 37.

Antara lagu-lagu popular Sudirman ialah Tanggal 31 Ogos dan Balik Kampung yang kerap dimainkan pada Hari Kemerdekaan Malaysia dan Hari Raya Aidilfitri.

Pada tahun 1989, Sudirman mendapat pujian di Asian Popular Music Awards di Royal Albert Hall, London.

Dia ketika itu menyampaikan lagu A Thousand Million Smiles dan Send In The Clowns sebagai penghormatan kepada Charlie Chaplin.

Persembahan itu membuatkan nama Sudirman terus mekar di persada antarabangsa.

Selain itu, Sudirman juga membawa nama negara sebagai duta nyanyian atau Singing Ambassador yang diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Tidak hanya mampu menyanyikan lagu Melayu, Sudirman juga meluaskan jaringan muziknya dengan menyanyikan lagu berbahasa Inggeris, Tamil, Tagalog, Korea dan beberapa dialek Cina.

Selain pelbagai anugerah, nama Sudirman juga disemadikan sebagai nama jalan di kampung halamannya.

"Selamat Hari lahir, Sudirman Haji Arshad!" Kata Google.

The Doodles telah menjadi sebahagian ikon Google, meraikan peristiwa penting termasuk hari ulang tahun individu dan cuti perayaan di sesebuah negara.

Sudirman

Artikel Lain