KEADAAN kesihatan penyanyi veteran, Datuk Dahlan Zainuddin masih tidak berubah sejak dimasukkan ke Hospital Selayang, Selangor selepas diserang angin ahmar atau strok pada Sabtu lalu. Isterinya, Datin Effa Rizan memberitahu Dahlan, 78, masih tidak memberikan sebarang respon namun bacaan alat bantuan pernafasannya menunjukkan semakin baik. "Hari ini keadaan abang (Dahlan) masih sama, tidak beri sebarang respons. Cumanya pernafasan dia baik sedikit. ARTIKEL BERKAITAN: Dahlan Zainuddin Rindu Menyanyi Selepas 7 Bulan Diserang Angin Ahmar "Doktor pun tak ada maklumkan perkembangan lain dan tak tahu bila keadaan dia akan benar-benar pulih," katanya ketika dihubungi mStar. Dalam kejadian petang Sabtu lalu, Effa memberitahu suaminya itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Dahlan masih kritikal. "Suami saya tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri. Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Selayang dan ditahan di wad kecemasan. "Pemeriksaan mendapati dia diserang strok di sebelah kanan dan sehingga kini masih dalam pemantauan doktor," katanya. Sementara itu, Effa turut memohon orang ramai dan peminat mendoakan supaya kesihatan penyanyi lagu Kisah Seorang Biduan ini segera pulih. "Kita doakan semoga keadaannya baik-baik dan cepat sembuh. Kami sekeluarga reda dan akan terus berdoa supaya semuanya dipermudahkan," ujarnya. Sebelum ini, Dahlan pernah diserang strok pada 2016 ketika sedang berada di sebuah majlis berbuka puasa di Perlis.