IMPIAN pelawak Shuib untuk memiliki motosikal idaman tercapai setelah menerima keizinan isterinya yang juga penyanyi Siti Sarah Raisuddin. Bagaimanapun, perkongsian itu mengundang kecaman netizen sehingga ada yang menggelarnya sebagai suami dayus. Gara-gara tuduhan itu, Siti Sarah menerusi Instagramnya menegaskan tindakan suami yang berterus-terang dalam sesuatu perkara bukanlah sifat seorang lelaki dayus. ARTIKEL BERKAITAN: Kalau tiada Siti Sarah, Shuib tak pasti hala tuju hidup "Tak sangka pula cerita minta izin isteri untuk beli motor jadi isu besar. Yang peliknya, ramai lelaki menganggap berterus-terang dengan isteri atau menghormati isteri adalah sesuatu yang dayus. "Yang saya tak faham, lelaki-lelaki ini menganggap menipu isteri itu lebih berani dari berterus terang yang dianggap dayus," katanya. Perkongsian Siti Sarah di Instagram pada Sabtu. Bersama kapsyen tersebut, Sarah turut berkongsi keratan artikel sebuah portal yang menulis mengenai kritikan netizen terhadap suaminya. Pada Jumaat, Shuib memuat naik foto dia bersama sebuah motosikal jenama Ysuku yang baru dibeli. "Salam Jumaat, akhirnya dapat juga... Alhamdulillah, penat pujuk Siti Sarah Raisuddin," tulisnya. Shuib pujuk isteri sebelum beli motosikal idaman. Disebabkan kapsyen tersebut, ada netizen meninggalkan komen meminta Shuib bersikap tegas dan tidak mudah tunduk kepada arahan isteri. Dalam pada itu, Siti Sarah turut menyifatkan Shuib sebagai seorang suami yang bertanggungjawab dan meletakkan isteri sebagai keutamaan. "Alhamdulillah saya bersyukur pada Allah kerana pinjamkan saya seorang suami yang baik dan bertanggungjawab, walhal dia boleh beli lebih dari moto tanpa bertanya pun pada saya. "Ya Allah, ampunilah dosa-dosa mereka sekiranya kata-kata mereka menyakiti suami ku... Amin," ujarnya. Sarah dan Shuib berkahwin pada 2011 dan dikurniakan tiga anak iaitu Uwais Al Qarni, Dzakira Talita Zahra dan Ariq Matin