suria

Budi baik Tan, sanggup bayar tunggakan rumah bekas PRO Siti Nurhaliza bikin hati sebak

Tan Su Loke, duduk di tangga masjid sementara menanti jenazah bekas pekerjanya, Bard (gambar kecil) dikafankan. Tan tidak dapat menahan sedih atas kehilangan pekerjanya itu.

JARANG bertemu seorang majikan, berlainan bangsa dan agama namun baik budi pekerti terhadap pekerja Melayunya.

Demikianlah sikap yang ditunjukkan oleh penasihat syarikat rakaman Suria Records (SRC), Tan Su Loke, 70-an, kepada bekas pekerjanya Bahanordin Deraman.

Bahanordin atau lebih mesra dengan panggilan Bard, 53, bukanlah satu nama yang asing dalam dunia hiburan tempatan.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam (PRO) SRC sejak 1994 bertanggungjawab menjaga artis-artis popular antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, New Boyz, 2By2, Noraniza Idris serta bintang dari Indonesia, Datuk Seri Rossa.

Malah di awal kemunculan Siti Nurhaliza, beliau antara individu yang bertanggungjawab menyunting Siti bagi menyertai SRC sebaik sahaja penyanyi itu diumumkan sebagai Juara Bintang HMI pada tahun 1995.

Kehilangan Bard pada malam Ahad akibat komplikasi buah pinggang benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat Tan dan keluarga.

Kata Tan, dia menganggap Bard umpama ahli keluarganya sendiri. Bard juga terlalu rapat dengan anak-anak dan cucu-cucunya.

Turut kelihatan Datuk Seri Siti Nurhaliza (kanan) membaca surah Yasin di hadapan jenazah Bard, di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

Sambil mengesat air mata tatkala menunggu jenazah Bard dikafankan di masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur pada Isnin, Tan menceritakan bagaimana sayangnya dia kepada bekas pekerjanya itu.

“Dia terlalu istimewa… Susah nak cakap tapi dipendekkan cerita dia sangat baik sama saya dan keluarga. Saya tidak kisah untuk tolong dalam keadaan dia susah atau senang,” kata Tan sambil mengeluarkan sapu tangan dalam poket kirinya untuk mengesat air mata.

Semasa dia buat bisnes jual air mata kucing dan burger depan rumah, saya selalu juga datang beri sokongan pada dia.

TAN SU LOKE

PENASIHAT SURIA RECORDS

Cerita Tan lagi, atas dasar sayangnya dia terhadap Bard itu, Tan sanggup mengeluarkan wang deposit untuk Bard membeli sebuah rumah flat di Kuala Lumpur.

Tidak cukup dengan itu, diberikannya motosikal agar mudah untuk Bard ulang-alik bekerja.

Tan juga meminjamkan kenderaan syarikat untuk digunakan Bard.

Malah ketika Bard menamatkan pekerjaan lebih setahun lalu kerana ingin mencuba bidang lain, Bard secara tiba-tiba dihimpit kesusahan sehinggalah rumah teres yang dibelinya nyaris dilelong.

Namun Tan sanggup mengeluarkan wangnya untuk membayar tunggakan rumah itu sebanyak RM30,000 semata-mata untuk melihat Bard hidup senang.


Tan Su Loke

“Bukan RM30,000 saja, sebelum itu pun saya ada juga bagi dia wang untuk selesaikan hutang rumah tu tapi saya sudah lupa berapa jumlah wang tu.

“Semasa dia buat bisnes jual air mata kucing dan burger depan rumah, saya selalu juga datang beri sokongan pada dia,” ujar Tan.

Percaya atau tidak, Tan ada membeli sebidang tanah di Pahang dan hartanah itu dinamakan atas nama Bard.

Terdapat pohon durian yang sudah boleh dimakan buahnya.

Khamis lalu ketika Bard bertemu Tan, Bard berkongsi rasa sedih apabila telefon bimbitnya hilang ketika pulang ke kampung di Kelantan Syawal lalu.

Tan tanpa berfikir panjang terus keluarkan wang RM500 untuk Bard membeli telefon baharu. Begitu baik hati majikannya ini.

Ditanya akan perasaannya atas kematian Bard itu, Tan hanya menjawab… “dia orang baik… orang baik. Saya tak kisah sama dia,” ujarnya.

Semasa hayatnya Bard juga pernah meluahkan perasaan sama, bagaimana dia mendapat seorang majikan yang terlalu baik dan tidak boleh diterjemahkan dengan kata-kata.

Gambar kenangan Bard ketika bersama Rossa.

Malah Bard pernah berhasrat menukar semula tanah atas namanya itu kepada Tan namun Tan sengaja melengah-lengahkan sambil berkata, jika dia meninggal dunia terlebih dahulu, tanah itu adalah hadiahnya buat Bard.

Tapi malangnya yang pergi dahulu ialah Bard.

Bard yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan merupakan seorang duda.

Beliau meninggalkan sepasang cahaya mata iaitu Nur’ Ain Batrisya, 15, dan Rizki Langit Ramadan yang berusia 12 tahun.

Turut hadir menziarahi jenazah Bard di rumah dan masjid ialah Siti Nurhaliza, Tomok, Leina Hangat, Jeff (A To Z), pereka fesyen Datuk Radzuan Radziwil dan rakan-rakannya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, AU4, Taman Permata, Kuala Lumpur selepas solat Zohor.

Semoga hubungan baik sesama manusia tanpa mengira agama seperti ditunjukkan antara Tan dan Bard ini menjadi contoh kepada semua masyarakat.

Artikel Lain