suria

“Bukan nak malukan tapi tiada cara lain” - Lisdawati dedah jadi mangsa sindiket 'tender palsu'

Lisdawati mendakwa kehilangan ribuan ringgit selepas ditipu seorang wanita.

PELAKON Lisdawati memberitahu dia kerugian ribuan ringgit selepas menjadi mangsa tipu seorang wanita yang dikenali sejak dua tahun lalu.

Menurut Lisda atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 40, dia bersetuju memberikan pinjaman kepada wanita berkenaan untuk tujuan modal bagi sebuah projek kerajaan.

"Kejadian ini sebenarnya dua tahun lepas. Saya bagi dia pinjam duit itu daripada belum mengandung, sampai anak dah besar. Tetapi bila saya call semua tak dapat, dia diam begitu sahaja.

"Pada awalnya dia beritahu saya dia dapat tender daripada kerajaan dan memerlukan wang sebagai modal. Dia tunjukkan beberapa dokumen sehingga buat saya percaya terhadapnya. Tapi selepas suami tanya kawan-kawan mengenainya, baru tahu ia palsu. Sudah ada sindiket yang buat perkara sama mencari mangsa menggunakan tender palsu itu!

"Niat saya nak bantu dia sebab dia beritahu suaminya sudah tidak bekerja dan dia pula ada anak. Atas dasar kasihan, saya bantu dia. Akhirnya saya pula yang kena begini," ujarnya kepada mStar.


Lisda memberitahu suaminya, Fauzi Nawawi ingin membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Lisda memberitahu dia mencuba nasib untuk mendapatkan kembali wang berkenaan yang merupakan hasil titik peluhnya sebagai pelakon.

"Bagi saya yang tak berapa nak ada kerja ni, jumlah itu agak banyak. Tak perlu tahu berapa tetapi jumlahnya mencecah ribuan juga.

"Saya bukan orang senang... jadi saya amat menghargai duit itu yang juga merupakan duit gaji saya. Saya juga ada komitmen yang harus saya tanggung.

"Kalau nak ikutkan suami saya suruh buat laporan polis. Tetapi saya pula memikirkan dia juga ada anak dan keluarga walaupun saya ada kesemua dokumen dan maklumat dia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Fauzi Nawawi dapat anak kelapan

Selain itu, Lisda menjelaskan dia tidak berniat untuk memalukan wanita itu sebaliknya tidak mempunyai cara lain bagi mengesan wanita berkenaan selepas gagal menghubunginya.

Lisda meminta bantuan orang ramai mengesan wanita yang didakwa melarikan wang miliknya.

Malah, Lisda turut meminta wanita berkenaan untuk tampil bagi menyelesaikan masalah itu secara baik.

"Kalau dia rasa dia nak muncul dan selesaikan perkara ini secara baik, saya terima. Cuma janganlah buat diam sahaja.

"Saya terfikir macam mana nak cari duit dan bila tiada cara lain, saya terpaksa post untuk minta dia pulangkan semula duit itu.

"Bukan niat saya untuk bergaduh atau serang dia. Cuma dengan harapan kalau ada rezeki saya dan anak-anak," ujarnya.

Terdahulu, Lisdawati meminta bantuan orang ramai mengesan seorang wanita dikenali sebagai Nurul Ashikin dipercayai berusia sekitar 30-an.

Lisdawati memuat naik foto wajah berserta kad pengenalan wanita berkenaan menerusi laman Instagram miliknya pada Selasa.

Lisdawati, Nurul Ashikin Aided

Artikel Lain