suria

Dada Aliff Aziz disapu pewarna merah sirap, pelukis henna sahkan “Kesan merah macam tu nampak lebih real”

Kesan merah di sekeliling tulisan Bella itu disebabkan sirap.

FOTO penyanyi Aliff Aziz mengukir nama bekas isterinya, Bella di bahagian dada menjadi perbualan hangat netizen sejak malam Sabtu lalu.

Biarpun penyanyi itu sudah menjelaskan tatu tersebut dibuat daripada inai, namun ada segelintir yang masih mempertikaikan warna merah di sekitar tulisan tatu itu sama seperti kesan cacahan tatu sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Aziz abadi nama Bella di dada, katanya cacah guna inai hitam... bukan dakwat tatu

ARTIKEL BERKAITAN: “Aliff bijak, cuma imannya kurang” - Bella Astillah rayu bantu Aliff Aziz, jangan sorak gembira

Bagaimanapun seorang pelukis inai yang mahu dikenali sebagai Lea Henna, menjelaskan perkara sebenar kepada mStar Online bahawa kesan merah tersebut merupakan pewarna merah sirap bagi menampakkan seakan kesan cacahan tatu sebenar.

Lea juga memberitahu dia menyaksikan sendiri abangnya mengukir nama Bella di dada Aliff menggunakan inai hitam dan memuat naik foto tersebut di Facebook pada 2016.


Aliff memberitahu ukiran nama Bella di dadanya menggunakan inai hitam.

"Saya berkawan dengan Bella dan Alif. Jadi apabila foto tersebut tersebar, saya terkejut sebab memang 100 peratus saya pasti foto itu dirakam sendiri oleh abang saya.

"Dia ambil foto itu serta muat naik di FB dia pada 2016 dan saya juga menyaksikan sendiri abang saya menggunakan inai hitam.

"Aliff ada minta untuk nampak ukiran tu seakan tatu kekal, jadi kesan merah itu disebabkan abang saya sapu sirap supaya nampak lebih real," katanya.

Dalam pada itu, Lea menjelaskan dia dan abangnya tidak mengetahui siapa individu yang bertanggungjawab menyebarkan foto tersebut di laman sosial.

"Foto itu memang dimuat naik abang saya di FB tapi pada 2016. Saya dan abang tak tahu siapa yang sebarkan foto itu semula di Twitter," katanya.

Nama Aliff Aziz sekali lagi menjadi perhatian apabila beberapa keping foto memperlihatkan bahagian dadanya dicacah dengan nama Bella tersebar di laman sosial sejak malam Sabtu.

Turut menjadi tular beberapa keping foto yang menampakkan bahagian belakang tubuhnya dipenuhi dengan lukisan seakan tatu.

Bella sedih dengan apa yang terjadi pada bekas suaminya.

Bagaimanapun, Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 28, menjelaskan ukiran tersebut dilukis menggunakan inai berwarna hitam.

Susulan kontroversi itu, bekas isterinya iaitu Bella Astillah juga tampil menjelaskan apa yang berlaku.

Menurut Bella, bekas suaminya itu dianiaya oleh individu yang baru dikenali.

Aliff dan Bella berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.

Pelakon itu sebelum ini pernah beberapa kali kantoi curang sehingga Bella akhirnya nekad meneruskan kehidupan bersama anak mereka tanpa Aliff.

Aliff Aziz, Bella Astillah, Leahenna

Artikel Lain