KES penceraian vokalis kumpulan OAG dilihat sedikit merumitkan apabila Radhi mengakui tidak mengingati lafaz cerai yang didakwa dilakukan terhadap isterinya, Nur Shahira Ayu Zahir pada 25 Mac lalu. Sehubungan itu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor memerintahkan Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 41, melakukan sumpah nafi selepas penyanyi itu memberi alasan tidak mengingati lafaz cerai yang dibuatnya. ARTIKEL BERKAITAN: “Radhi nak rujuk, tapi saya tetap tak mahu” - Bekas isteri dah tawar hati ARTIKEL BERKAITAN: “Mungkin jodoh kami sampai sini” - Isteri Radhi (OAG) akui 2 minggu tak sebumbung "Sumpah saya tak ingat... tapi tarikh itu betul saya rasa," kata Radhi. Radhi dan isterinya kini tinggal berasingan sejak 25 Mac lalu. Semasa prosiding, Nur Shahira Ayu atau nama panggilannya Ayu menegaskan bahawa dia mendengar sendiri lafaz cerai yang dibuat Radhi pada kira-kira pukul 4.20 pagi, 25 Mac lalu. Mahkamah turut diberitahu bahawa lafaz cerai dilakukan selepas terjadinya pertengkaran mulut antara mereka kerana salah faham. Selepas mendengar keterangan kedua-dua belah pihak, Husaini kemudian menetapkan 16 Julai bagi sebutan semula kes lafaz cerai termasuk Radhi perlu melakukan sumpah nafi terhadap lafaz cerai itu. "Sumpah nafi ini penting kerana kesannya adalah besar di dunia dan akhirat, jadi mahkamah memberi ruang untuk kamu (Radhi) mengenai lafaz yang telah dibuat," kata Husaini. Sumpah nafi ialah sumpah yang perlu dibuat seseorang individu bagi menafikan apa yang dikatakannya sebelum mahkamah menjatuhkan sesuatu keputusan. Sebelum itu, Ayu selaku plaintif memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 57, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 3 Jun lalu. Ayu menfailkan permohonan cerai pada 3 Jun lalu. Menerusi laporan mStar pada 4 April, Ayu mengakui hubungan rumah tangga yang dibina sejak lima tahun lalu berdepan masalah dan mereka kini tinggal secara berasingan sejak 25 Mac. Selain itu, dia juga mendedahkan Radhi pernah meluahkan hasrat untuk kembali bersama selepas melafazkan cerai pada 25 Mac lalu. Ayu bagaimanapun nekad dengan keputusan untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak tanpa suami. Bagaimanapun Ayu enggan menjelaskan punca sebenar masalah yang dialami kerana beranggapan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum. Radhi dan Ayu berkahwin pada 14 April 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3. Dua orang anak mereka buat masa ini masih berada di bawah penjagaan Ayu dan Radhi sentiasa dibenarkan untuk bertemu dengan mereka pada bila-bila masa. Sebelum ini Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rifdhi Muslim yang kini berusia 14 tahun.