suria

Masalah rumah tangga selesaikan cara baik, jangan minta nasihat netizen - Ajak Shiro

Ajak minta netizen supaya tidak tentukan haluan rumah tangga selebriti.

PELAWAK dan pengacara Ajak meminta agar netizen tidak memberi tekanan kepada mana-mana pasangan selebriti yang sedang menghadapi masalah rumah tangga.

Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak berkata, selebriti yang sedang berdepan dengan ujian juga tidak perlu memberi peluang kepada orang luar terutamanya netizen untuk mempengaruhi keputusan mereka.

“Sejujurnya saya takut untuk mengulas tentang isu rumah tangga pasangan lain tambahan lagi golongan selebriti yang saya kenali.

“Namun apa yang saya perhatikan ialah netizen zaman ini lebih gemar menentukan hala tuju rumah tangga pasangan selebriti yang sedang dilanda badai, seharusnya mereka (selebriti) selesaikannya tanpa mengikut telunjuk dan pendapat netizen,” kata Ajak kepada mStar.

Ajak harap netizen tidak jadi 'hakim' penentu rumah tangga selebriti.

Ahli kumpulan Shiro ini meluahkan perasaan kecewa melihat pengguna media sosial yang seakan-akan menjadi penasihat rumah tangga selebriti yang sedang dilanda ujian.

Ajak ditemui semasa majlis sidang media pelancaran single ketiganya berjudul Yang Mano di pejabat Warner Music pada Khamis.

Dalam pada itu, mengulas tentang muzik video Yang Mano menampilkan dua anaknya, Ajak berkata, dia tidak berniat untuk mendedahkan anak-anaknya kepada dunia hiburan pada usia yang terlalu muda.

Bagaimanapun, katanya, single baharu itu merupakan projek istimewa yang dianggap sesuai untuk melibatkan anak-anaknya.

Ajak nafi 'jual' anak dalam klip video lagu terbarunya, Yang Mano.

“Bukan niat nak berikan kemasyuran kepada anak-anak, namun saya rasa mereka merupakan individu paling rapat dan mudah untuk saya berkomunikasi.

“Malah saya dapat menjimatkan kos daripada membayar penari profesional lain, lebih menarik anak pertama saya iaitu Mohd Jad Thaqif yang kini berusia sembilan tahun pula menjadi guru tarian saya dalam klip video tersebut kerana dia lebih ‘cepat tangkap’ semasa sesi latihan,” tambah Ajak.

Ajak mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2009 dengan isterinya, Nur Afifah Amin dan dikurniakan tiga cahaya mata.

ajak shiro

Artikel Lain