PENYANYI era 1970-an Abdul Halil Chik, meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada kira-kira pukul 7 pagi, Ahad. Berita tersebut disahkan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez. Menurut Freddie, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bukit Antarabangsa dan akan dikebumikan selepas solat Zohor. "Ya, penyanyi 70-an Halil Chik telah kembali ke rahmatullah pagi tadi. Sheila turut mendoakan arwah Halil menerusi laman sosialnya. "Jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit Antarabangsa pagi ini untuk pengebumian selepas solat Zohor," kata Freddie kepada mStar. Pada 19 Jun lalu Halil, 70, dikejarkan ke Hospital Ampang selepas diserang angin ahmar di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Menerusi sebuah portal, rakannya, Datuk Tommie Tumiran berkata, dia dihubungi anak penyanyi yang popular dengan lagu Lenggang Mak Limah itu memaklumkan Halil terjatuh dari katil sebelum bergegas ke rumahnya untuk memberi bantuan. Allahyarham dikatakan mengalami masalah darah tinggi yang teruk hingga menyebabkan strok pada bahagian kanan badan kerana pendarahan otak kiri.