BAPA kepada penyanyi Zahid Baharuddin yang gagal dikesan hampir 12 jam yang lalu sudah ditemui di Gerik, Perak, kira-kira 10.30 malam, Ahad.
Menerusi Instagram, bekas juara program realiti popular Akademi Fantasia (AF2) musim kedua itu bersyukur dan berterima kasih atas bantuan orang ramai berkongsi berita kehilangan sehingga bapanya Baharuddin Md Arif ditemui.
"Terima kasih atas bantuan orang di Grik yang memberi info tentang ayah saya, terima kasih kepada semua yang membantu kongsi post saya dari semua sudut media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN: “Dah lima jam keluar tak balik lagi” - Zahid minta bantuan orang ramai kesan bapa
"Semoga Allah membalas jasa-jasa kalian semua... Alhamdulillah dia okay,” katanya.
Dalam perkongsian itu Zahid berkata, ayahnya itu dibawa ke Balai Polis di Gerik untuk diambil keterengan manakala kereta dipandunya pula berlaku sedikit kemalangan.
Sebelum ini, Zahid memohon bantuan orang ramai untuk mengesan kereta jenis Proton Preve Silver bernombor plat DCS 6092 dipandu bapanya di sekitar Teluk Intan, Perak.
Jarak antara Teluk Intan dan Gerik, Perak ialah kira-kira 200 kilometer.
Menurut Zahid, bapanya keluar kira-kira pukul 11 pagi Ahad tanpa pengetahuan ibunya yang berada dalam rumah selain turut mengalami masalah ingatan.