PENYANYI Mimie Haris memberitahu dia berkenalan dengan jejaka pilihan hatinya selama tiga bulan sebelum membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada Ahad lalu. Menurut Mimie atau nama sebenarnya Norshamimi Ahmad Haris, 29, sikap budiman juruterbang bernama Rudy itu membuka hatinya untuk menerima semula kehadiran teman hidup. ARTIKEL BERKAITAN: Mimie Haris Tidak Kisah Publisiti Kurang ARTIKEL BERKAITAN: Mimie Haris Beraya Dengan Kereta Baru “Kami berkenalan melalui rakan. Sebelum ini dia pernah menyatakan untuk mengenali saya lebih mendalam. Tetapi disebabkan masing-masing sibuk bekerja, hasrat itu berlalu begitu sahaja. “Sehinggalah beberapa bulan ini kami mula rapat dan mengenali hati budi masing-masing. “Sebagai seorang wanita, saya nampak kesungguhan dia untuk mengenali saya. Malah saya menetapkan beberapa syarat sebelum membuat keputusan menerimanya,” ujarnya kepada mStar. Dalam pada itu, Mimie menjelaskan pengalaman daripada kegagalan perkahwinan dahulu tidak membuatnya serik untuk menerima insan baharu sebagai pelengkap hidup. Malah, Mimie menganggap perkara lalu itu menjadikan dirinya seorang yang lebih matang. “Apa yang terjadi sebelum ini menjadikan saya lebih matang pada hari ini. “Saya tidak melihat dari paras rupa atau harta benda, sebaliknya saya terima dia seadanya. Dia orang biasa-biasa sahaja. Bukan bekerja dalam industri. “Insyallah, kalau memang jodoh kami untuk bersama, kami rancang untuk bernikah awal tahun dapan, tarikh sebenar rahsia!” ujarnya. Untuk rekod, Mimie pernah mendirikan rumah tangga bersama seorang usahawan, Nizam Mohammad Ibrahim pada 23 Disember 2015. Bagaimanapun hubungan tidak berpanjangan apabila pasangan ini membuat keputusan bercerai pada Ogos 2016.