suria

“Ayah nak pergi Kelantan” - Zahid (AF2) syukur bapa selamat, hidap demensia sejak dua tahun lalu

KEHILANGAN bapa kepada penyanyi Zahid Baharudin iaitu Baharuddin Md Arif hampir 12 jam di Teluk Intan, Perak pada Ahad lalu mendapat perhatian di laman sosial.

Tindakan netizen berkongsi info berkaitan kehilangan itu akhirnya berjaya mengesan warga emas berusia 70 tahun tersebut kira-kira pukul 10.30 malam Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Zahid (AF2) ‘hilang’ 12 jam ditemui di Gerik, pandu lebih 200 kilometer

Zahid berkata,  bapanya menghidap penyakit demensia sejak dua tahun lalu itu tidak mampu mengingati sesuatu perkara dengan baik.

"Ayah tak mampu nak ingat dengan baik... sebenarnya sudah hampir tiga tahun dia tak memandu. Namun pada pagi hari kejadian entah macam mana dia ambil kunci kereta dan memandu tanpa disedari keluarga.

Zahid mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membre info berkata bapanya.

"Mak terkejut apabila tengok ayah dan kereta sudah tiada, terus dia hubungi kami adik-beradik.

"Semasa kami temui ayah di Gerik, dia pun tak tahu nak pergi mana, cuma ayah ada cakap dengan orang awam yang membantu dia nak pergi Kelantan," katanya kepada mStar.

Sebelum itu, Zahid menerusi laman sosial memohon bantuan orang ramai untuk mengesan kereta jenis Proton Preve berwarna silver bernombor plat DCS 6092 dipandu bapanya di sekitar Teluk Intan, Perak.

Sementara itu, Zahid memberitahu bapanya ditemui kira-kira pukul 10.20 malam dalam keadaan sihat meskipun sudah mengharungi perjalanan sejauh 230 kilometer.

Katanya, terdapat juga sedikit kerosakan kecil pada kenderaan yang dipandu itu.

"Ayah ditemui oleh kawan sepejabat kakak saya, dia nampak kereta yang dipandu ayah dan tahan sehingga polis datang membantu.

"Alhamdullilah, semuanya selamat dan tiada sebarang kecederaan berlaku. Rasa lega sangat bila ayah ditemui dan dia hanya mengadu lapar.

"Mujurlah sepanjang perjalanan jauh itu petrol kereta tak habis, kalau tidak lain pula jadinya," ujarnya.

Dalam pada itu, bekas juara program realiti popular Akademi Fantasia (AF2) musim kedua ini turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu mencari dan memberi maklumat mengenai kehilangan ayahnya itu.

"Terima kasih kepada pasukan polis Perak, orang-orang Teluk Intan, Gerik dan semua yang membantu menyelamatkan ayah.

"Juga kepada orang ramai yang kongsi berita kehilangan di media sosial," ujarnya.

Zahid Baharudin, AF

Artikel Lain