suria

Kes dah selesai baru 'tunjuk muka'? Aishah sindir Jihan Muse... “Konon nak beri kerjasama, hidup penuh lakonan”

Aishah akui pihak Jihan ada hubungi peguamnya selepas kes selesai.

PENYANYI Aishah mengakui status sindiran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Isnin sememangnya ditujukan kepada pengacara Jihan Muse.

Menurut Aishah, 54, Jihan dan seorang lagi pengacara iaitu Nabil Ahmad sepatutnya disepina dan dikehendaki hadir ke mahkamah bagi kes tuntutan sivil terhadap usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman.

Jelas penyanyi Janji Manismu itu, Jihan dan Nabil perlu menjadi saksi disebabkan mereka berada di pentas Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

ARTIKEL BERKAITAN: Vida perlu ganti barang kemas RM80,000... Aishah beri masa dua minggu

"Memang saya tulis status tersebut untuk ditujukan kepada Jihan sebab dia dan Nabil sepatutnya disepina supaya hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Aishah memuat naik status yang ditujukan kepada Jihan.

"Malangnya, pihak peguam saya susah nak sampaikan sepina itu hinggakan peguam dah bercadang untuk keluarkan iklan untuk cari dia.

"Segala urusan yang kami buat semua dalam lingkungan yang dibenarkan oleh undang-undang. Bukan saja-saja nak minta sesiapa masuk campur.

"Mereka berdua disepina sebab berada di pentas GV4 dan mereka juga yang mengumumkan hadiah pemenang termasuk hadiah barang kemas tajaan DSV," kata Aishah kepada mStar.

Aishah sebelum ini memuat naik status seakan menyindir Jihan hingga menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen di laman sosial.

Jihan sebelum ini pernah berkongsi status seakan mengeluh mengenai apa yang terjadi.

Bagaimanapun Aishah berkata Jihan ada menghubungi peguamnya untuk memberi kerjasama selepas dia mengumumkan mengenai status kes tersebut yang berpihak kepadanya.

"Jihan tidak menghubungi saya tapi pengurus dan dia sendiri ada hubungi peguam saya selepas kes selesai," ujarnya.

Pada Rabu, Aishah menerusi sidang media khas memaklumkan bahawa Hasmiza atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida perlu membayar harga pameran (price tag) barang kemas berjumlah RM80,000 kepada penyanyi Aishah pada atau sebelum 17 Julai ini.

Kemelut antara Aishah dan Vida berakhir apabila kemenangan berpihak kepada penyanyi itu.

Bukan itu sahaja, Vida juga perlu membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi sidang media khas mengikut tempoh masa sama.

Kedua-dua tuntutan itu merupakan hasil mediasi antara Aishah dan Vida yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Sesyen Sivil 11 Kuala Lumpur pada Isnin.

Perbalahan antara Aishah dan Vida tercetus apabila penyanyi itu membuat pendedahan mengenai hadiah rantai bernilai RM80,000 yang ditaja usahawan kosmetik itu adalah palsu.

Aishah mengetahui bahawa barangan kemas yang diterima hasil hadiah kemenangan selepas menjuarai progam Gegar Vaganza musim keempat itu palsu selepas mengadakan pemeriksaan di kedai emas.

Artikel Lain