suria

“Mama, mama...” - Rayuan anak jiran didera bapa undang sebak Shahriza Mahmud

Shahriza dan suami terkejut melihat seorang lelaki memukul anak dipercayai menggunakan rotan tanpa henti.

"MAMA... Mama... Sakitttt" Jeritan seorang kanak-kanak lelaki yang menyebut nama ibunya meminta tolong gara-gara menjadi mangsa dipukul bapa sendiri tanpa belas ihsan benar-benar mengundang sebak.

Pelakon Shahriza Mahmud yang merupakan jiran kepada keluarga kanak-kanak itu turut mendengar bagaimana kanak-kanak itu menangis agar dia tidak terus dipukul namun si bapa tetap tidak peduli dengan rayuan si anak itu.

Menceritakan detik-detik itu, Shahriza, 53, dan suaminya Saddiq Raffali yang ketika itu baru tiba di rumah mereka di Kuala Lumpur pada mulanya menyangkakan jeritan daripada insiden itu adalah kerana pergaduhan di blok hadapan rumahnya.

Namun alangkah terkejutnya apabila mereka melihat sendiri seorang lelaki mengamuk dan memukul seorang kanak-kanak lelaki dipercayai menggunakan rotan tanpa rasa kasihan.

"Kebetulan saya dan suami baru sahaja sampai rumah, kami dengar suara orang menjerit-jerit marah. Mula-mula itu ingatkan ada orang bergaduh.

"Tapi apabila kami lihat dari balkoni rumah, nampak ada lelaki sedang mengamuk dan memukul anaknya. Kejadian itu jelas kelihatan sebab rumah orang tu betul-betul berhadapan dengan rumah kami.

Shahriza berkongsi kejadian bapa pukul anak menerusi laman Facebook miliknya.

"Kami dapat dengar suara budak lelaki itu menjerit memanggil ibunya sambil menangis tanpa henti akibat dipukul dengan rotan selama hampir lima minit," katanya kepada mStar.

Shahriza yang juga kakak ipar kepada penyanyi Ana Raffali turut berkongsi insiden berkenaan menerusi laman Facebook miliknya.

Menerusi pengkongsian tersebut, Shahriza memberitahu lelaki tersebut memukul anaknya menggunakan rotan tanpa henti dan belas kasihan.

Kata pelakon drama Cari Aku Di Syurga itu, suaminya terpaksa menjerit untuk meminta lelaki tersebut berhenti melakukan perbuatan itu sebelum dia melaporkan kepada pihak polis.

Bagaimanapun menurut Shahriza, individu tersebut terlebih dahulu pergi ke sebuah balai polis untuk membuat laporan terhadap jiran kerana dikatakan cuba mencampuri urusan keluarganya.

"Mula-mula ingatkan tak teruk, tapi apabila dah nampak lelaki itu melampau sangat pukul anak dia, suami saya terpaksa jerit suruh dia berhenti dan kata nak laporkan kepada polis.

Malah, dengar suara budak lelaki itu menjerit memanggil ibunya sambil menangis tanpa henti bila dipukul dengan rotan selama hampir lima minit.

SHAHRIZA MAHMUD

PELAKON

"Selepas itu, memang dia berhenti dan suasana kembali sunyi tapi rupa-rupanya saya dapat tahu, lelaki itu dah pergi ke balai untuk buat laporan polis.

"Laporan itu dikatakan untuk menghalang jiran-jiran daripada masuk campur urusan keluarganya," ujar Shahriza.

Dalam pada itu, Shahriza dan suaminya berhasrat untuk ke balai polis bagi mengetahui lebih lanjut mengenai laporan yang dibuat individu tersebut.

"InsyaAllah saya dan suami akan ke balai polis juga untuk mengetahui lebih lanjut laporan apa yang dibuat lelaki itu.

"Sebab selepas insiden itu, polis ada datang ke kawasan perumahan saya memberitahu lelaki berkenaan mendakwa isterinya berasa tidak selesa ada orang memandang ke rumah mereka.

"Tapi polis juga menasihatkan kami supaya membuat laporan sekiranya lelaki itu bertindak memukul anaknya lagi," katanya.

Shahriza Mahmud

Artikel Lain