suria

Bekas kekasih nafi cinta tidak direstu keluarga dalam lagu ‘Sumpah’, Naim Daniel mohon maaf pada ibu Dayana

Naim sudah menghubungi ibu bekas kekasihnya untuk memohon maaf atas apa yang berlaku.

SELEPAS penyanyi Naim Daniel mendedahkan lagu baharunya berjudul Sumpah menceritakan kisah percintaannya sebelum ini, seorang wanita bernama Dayana Amerda tampil membuat pengakuan gadis yang dimaksudkan itu merupakan dirinya.

Menerusi Instagram Dayana memberitahu dia sebenarnya kurang senang apabila lagu tersebut yang dicipta bersama Naim sekitar 2013 dan 2014 itu dikeluarkan tanpa persetujuannya.

Malah, Dayana juga menafikan dakwaan Naim mengenai perpisahan mereka berpunca disebabkan tidak mendapat restu daripada keluarganya.

Bagaimanapun, Dayana mengambil keputusan untuk memadam kenyataan penjelasan tersebut kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan.

Ibu Dayana minta tiada pihak menyebarkan berita tidak sahih.

Menerusi Instastory ibu kepada Dayana iaitu Aida Daud, dia dan anaknya sudah memaafkan Naim atas apa yang berlaku dan berharap tidak ada pihak yang cuba menyebarkan cerita tanpa kesahihan.

"Dayana mengambil keputusan untuk padam post dia tadi, dia dah maafkan apa yang jadi dan tak mahu keadaan lagi keruh.

"Harap jangan nak viralkan tanpa ada info yang sahih. Saya rumuskan kes tutup. Saya mohon maaf dan saya maafkan pada yang berbuat salah pada kami.

"Semoga jadi teladan buat orang yang melihat, jangan cepat percaya dan tabayyun sebelum jatuh hukum. Kita bukan siapa-siapa lebih baik dia," tulisnya.

Naim dedah kisah disebalik lagu Sumpah.

Sebelum ini, tular video temu bual antara DJ Nazz bersama Naim yang menitiskan air mata apabila menerangkan kisah sebenar disebalik lagu Sumpah.

Dalam pada itu, Aida memberitahu pelakon drama Pia ini sudah menghubunginya untuk memohon maaf.

"Alhamdulillah selesai. Terima kasih @naimdanielx hubungi auntie (mak cik) dan minta maaf atas semua yang berlaku.

"Semoga Allah merahmati kita semua. Aamiin," katanya.

Naim Daniel, Sumpah

Artikel Lain