suria

“Kejamlah kalau saya biarkan mereka” - Syafinaz cari jalan bantu Ranisha, Lazarul (Mentor 7) kembangkan bakat

Syafinaz mahu bantu kembangkan bakat Ranisha dan Lazarul.

PENYANYI Datuk Syafinaz Selamat akan terus menggalas tugas dan tanggungjawab terhadap dua anak didiknya yang dicungkil bakat daripada program realiti Mentor musim ketujuh.

Menurut Syafinaz, 46, Lazarul dan Ranisha memiliki bakat besar dan tidak teragak-agak untuk terus membantu mengembangkan karier nyanyian mereka.

"Sebagai mentor saya bertanggungjawab terhadap mereka kerana saya yang membawa mereka ke dunia nyanyian menerusi pentas program Mentor 7, kejamlah kalau saya hanya membiarkan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Syafinaz Selamat Kini Bergelar Datuk

"Saya melihat mereka agak menyepi selepas program itu, jadi saya kena cari jalan untuk menonjolkan mereka.

Mereka bertiga muncul dengan lagu raya baharu berjudul RahmatNya.

"Lazarul dan Ranisha adalah penyanyi yang bagus, tetapi tiada platform untuk dia terus mengembangkan bakat. Saya sedia pikul tanggungjawab ini," katanya.

Mentor 7 yang bersiaran menerusi TV3 menyaksikan Syafinaz merupakan satu-satunya mentor yang telah berjaya mengekalkan kedua-dua protegenya hingga ke peringkat separuh akhir.

Ranisha merupakan salah seorang protege wanita dalam Mentor 7 yang berjaya mara ke peringkat akhir.

Sementara itu, bagi memastikan kedua-dua protegenya bersinar sebagai anak seni, Syafinaz berkata dia sudah menyusun strategi untuk mereka.

Syafinaz akan muncul dengan lagu single baharu berjudul Persis Salju ciptaan Ku Sham dan lirik Zaira tidak lama lagi.

Sebagai permulaan, dia mengeluarkan modal sendiri menghasilkan lagu raya yang dinyanyikan oleh mereka bertiga berjudul RahmatNya.

"Saya percaya belum ada mentor yang mengeluarkan duit untuk merakamkan lagu buat anak didiknya, tetapi saya pula berfikiran sebaliknya.

"Saya masih ingat, hati tergerak merakamkan lagu raya selepas terjaga daripada tidur seminggu sebelum Ramadan dan saya terus menghubungi Lazarul dan Ranisha untuk memberitahu berita baik ini.

"Lagu tersebut ciptaan Ku Sham dan lirik oleh Zaira. Sejujurnya saya rasa teruja kerana ini lagu raya pertama yang dirakamkan sejak bergelar penyanyi kira-kira 30 tahun lalu," katanya yang bakal muncul dengan single baharu tidak lama lagi.

Syafinaz Selamat, Lazarul, Ranisha

Artikel Lain