suria

“Tidak perlu cerita kepada sesiapa… hanya Allah yang tahu” - Mawar Karim muhasabah diri, percaya ada hikmah disebalik perceraian

Mawar tidak mampu menahan sebak ketika ditanya mengenai anaknya, Maryam.

KUNJUNGAN pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew ke kediaman bekas isteri kepada pelakon, Fizo Omar iaitu Mawar Karim menjadi ruang untuk mereka berkongsi ilmu dan muhasabah diri.

Menurut Mawar, 30, setiap ujian yang dilalui pasti ada hikmahnya dan hanya Allah menjadi tempat terbaik untuk dia mengadu.

"Terima kasih banyak-banyak Ustaz Ebit Lew sudi datang, banyak pengisian ilmu yang kami dapat. Hanya Allah maha mengetahui apa saja yang berlaku pada kita pasti ada hikmah untuk kita muhasabah diri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya korbankan kasih sayang untuk kebahagiaan Fizo sekeluarga” - Mawar mahu bercerai bukan sebab harta atau orang ketiga

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak pernah menyusahkan Mawar” - Ibu bantah Fizo bercerai, netizen punca tekanan emosi

"Betul kata ustaz apa yang berlaku kita perlu mengadu dekat Allah, cerita dekat Allah, mohon dengan Allah. Tidak perlu cerita kepada sesiapa kerana yang alaminya adalah diri kita.

"Kita saja yang tahu apa yang berlaku sebenarnya. Jangan lupa dekat Allah, sebab Allah sentiasa ingat kita," tulis Mawar di laman Instagram pada Sabtu.

Sesi tazkirah bersama Ebit Lew dalam program Door To Door Ebit Lew yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Pada Jumaat, pendakwah bebas itu mengadakan sesi tazkirah di kediaman keluarga Mawar dan disiarkan secara langsung di Facebook Ebit Lew.

Pada majlis yang turut dihadiri ahli keluarga usahawan tudung dan beberapa pekerjanya itu, Ebit berkongsi mengenai ujian dan cara mendidik hati daripada terus bersangka buruk.

Dalam temubual tersebut, Mawar menganggap perceraian juga satu ujian dan menyedari turut berbuat silap dan perlu muhasabah diri.

Mawar reda dan percaya ada hikmah di sebalik ujian.

"Saya kena teruskan kehidupan dan pasti Allah itu tidak zalim dan Dia Maha Adil. Pasti ada yang terbaik untuk saya pada masa depan.

"Saya cuba terbaik, apa pun saya nak perbetulkan diri sendiri dan utamanya nak dekatkan diri dengan Allah. Saya akui saya pun ada salah sebelum ini tetapi yang penting ialah yang nak berubah adalah saya sendiri dan minta doa pada Allah saja,” katanya.

Terdahulu, Fizo berkahwin dengan Mawar pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata Wan Maryam, 2.

Fizo melafazkan cerai terhadap isterinya Mawar Abdul Karim pada 10 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.

Mawar Karim, Fizo Omar

Artikel Lain