PELAKON Mira Filzah terpaksa menampar pelakon Zul Ariffin sebanyak enam kali bagi menjayakan sebuah babak menerusi filem terbaru, Sangkar. Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, berkata dia perlu berbuat demikian bagi memenuhi tuntutan jalan cerita dan skrip. Bagaimanapun Mira sempat berseloroh mengatakan tamparannya itu tidak memberi kesan kepada Zul Ariffin. "Ada satu babak dalam filem itu memerlukan saya menampar muka Zul sebanyak enam kali. Mira Filzah gembira dapat terlibat dalam filem Sangkar. "Saya memang tampar betul-betul tapi dengan kebenaran Zul juga. Tapi rasanya setakat tamparan saya itu, Zul tak rasa apa-apa pun," kata Mira kepada mStar. Mira ditemui ketika majlis pelancaran filem Sangkar di Battle Arena Malaysia, Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya pada baru-baru ini. Selain Mira dan Zul, filem arahan Kabir Bhatia itu turut dibintangi oleh Remy Ishak, Fadlan Hazim dan atlet peninju profesional MMA iaitu James Mcsweeney serta Saiful Merican, Rashid Salleh, Peter Hugh Davis dan Terry Gallyot. Dalam pada itu, Mira memberitahu dia berasa seronok apabila buat pertama kali dapat bekerjasama dengan dua pelakon dan pengarah hebat. Mira pertama kali digandingkan dengan Zul dan Remy dalam satu filem. "Kalau ikutkan, filem ini merupakan filem pertama saya sebelum filem Ini Kalilah dan pertama kali juga saya dapat bekerjasama dengan Zul, Remy dan Kabir Bhatia. "Kabir Bhatia adalah seorang pengarah yang sangat teliti manakala Zul dan Remy sememangnya profesional dan mudah untuk berlakon bersama," ujarnya Filem Melayu pertama yang menampilkan Mixed Martial Arts (MMA) ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula pada 29 Ogos depan.