suria

Pementasan teater ajar Luqman Hafidz bezakan antara diri dengan watak lakonan

Luqman Hafidz lebih gemar belajar ilmu lakonan ketika berada di lokasi penggambaran.

PELAKON Luqman Hafidz memberitahu dia banyak belajar cara untuk mengawal diri daripada terbawa-bawa watak lakonan dalam kehidupan harian ketika menjalani sesi latihan pementasan teater Ola Bola Musical.

Menurut Luqman, 28, selain bertanya kepada pengarah teater tersebut Puan Seri Tiara Jacquelina, dia juga turut mendapatkan nasihat daripada pengurusannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Luqman Hafidz bimbang terpalit kontroversi foto lucah, yakin tak pernah buat perkara memalukan

"Sebenarnya saya pernah melalui pengalaman di mana saya terbawa-bawa watak sebagai Ali ketika sesi latihan teater Ola Bola Musical dalam kehidupan harian saya.

Luqman menimba ilmu dengan Tiara.

"Pernah satu hari itu saya balik dari latihan, saya dapat rasakan suasana sedih dalam salah satu babak teater tu bawa sampai ke rumah.

"Keesokan harinya, saya terus bertanya kepada Puan Sri Tiara macam mana cara untuk bezakan Ali dan diri saya sebenar.

"Bagi saya, pementasan teater banyak mengajar saya untuk membezakan diri dengan watak lakonan selain nasihat dari pihak pengurusan," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Luqman meluahkan rasa teruja apabila menerima tawaran membintangi filem aksi pertama, J Revolusi 2 sekaligus dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang hebat seperti Datuk Rosyam Nor.

Luqman teruja dapat berlakon filem aksi pertama.

Kata pemilik nama Muhd Luqman Hafidz Muhd Fauzi ini, biarpun produksi menyediakan latihan awal sebelum menjalani penggambaran namun dia lebih gemar menimba ilmu di set lokasi.

"Banyak babak menarik dalam filem J Revolusi 2 dan memberi pengalaman baharu, dalam pada masa sama seronok dapat berlakon disamping Rosyam Nor yang banyak memberi ilmu kepada saya.

"Bukan sahaja dia kongsi ilmu lakonan tapi cara bagaimana untuk bawa diri dalam industri seni. Dari segi latihan pula, produksi memang ada sediakan latihan awal seperti memegang pistol.

"Tapi bagi saya, dekat set lokasi paling penting untuk kita berlatih dan dalam waktu yang sama dapat belajar benda baru," ujarnya.

Artikel Lain