suria

“Bukan saya tak mahu jumpa, dia yang tak nak” - Diana Danielle perjelas status bapa yang tak pernah muncul

Diana bersyukur dikurniakan suami penyayang untuk anak-anak.

PERKONGSIAN pelakon Datin Diana Danielle mengenai kisah hidupnya yang dibesarkan tanpa kasih seorang bapa mengundang simpati netizen.

Menurut Diana, 28, walaupun hanya sempat menumpang kasih dalam waktu singkat, dia tetap mendoakan yang terbaik untuk bapanya itu.

"D (Diana) sekejap sangat rasa kasih sayang seorang ayah, sampai sekarang walaupun dia tahu saya wujud... dia masih cuba untuk lupakan yang dia adalah ayah saya dan darahnya mengalir dalam badan saya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Betapa pentingnya Farid untuk saya” - Diana Danielle hargai masa bersama sementara hukuman penjara ditangguh

"Itulah takdir, itulah kehidupan. Walau apa yang berlaku, saya akan sentiasa mendoakan untuk ayah saya kerana dia tetap ayah saya," katanya.

Perkongsiaan Diana di Instagram menarik perhatian pengikut.

Isteri kepada pelakon Datuk Farid Kamil ini berkongsi luahan tersebut di Instagram pada Isnin.

Sementara itu, Diana berkata dia tidak mengetahui mengapa bapanya enggan menemuinya.

"Dia pernah ada dalam hidup saya, dia pernah menjadi bapa saya namun esoknya dia hilang. Saya terima hakikat itu sekarang... tapi kenapa? 

"Tak tahu bagaimana rasa sakit itu kerana anda mengharapkan dia kembali dan bawa semua kesakitan berkenaan. Tapi tak mengapa, Alhamdulillah dengan kehidupan saya sekarang walau tanpa kehadiran dia.

"Bukan saya yang tak nak jumpa, dia yang tak nak," jawab Diana pada salah satu komen pengikut.

Dalam pada itu, Diana tetap bersyukur dikurniakan seorang ibu, Norsiah Ramli yang bertanggungjawab dan sentiasa berada di sisinya sejak kecil hingga sekarang.

Diana membalas pertanyaan yang diajukan oleh peminat.

Malah, kehadiran Farid sebagai suami kepada dua cahaya mata mereka membuatkan kehidupannya lebih bermakna dan bahagia.

"Saya syukur ibu saya masih hidup, dia yang korbankan segalanya untuk saya. Dialah teman, dialah pembimbing dan saya syukur ada suami yang sayang anak-anaknya seluruh jiwa raganya.

"Mereka dapat rasa gomolan seorang ayah, teguran dan kasih sayang. Masa akan berlalu dengan pantas, semoga hubungan ini akan buat anak-anak kita tak lekang doa di bibir bila kita tak ada nanti," ujarnya.

Terdahulu, Diana berkahwin dengan  Farid Kamil pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad yang kini berusia enam tahun dan Nur Aurora berumur empat tahun.

Diana Danielle, farid Kamil

Artikel Lain