PELAKON Sarah Hildebrand mendedahkan dia mengambil keputusan untuk 'membuang' rakan-rakan di laman sosial disebabkan menganggu privasinya. Sarah atau nama sebenarnya Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, 29, berkata dia tidak mahu dikelilingi dengan orang yang mempunyai sifat cemburu dan ingin menjatuhkannya. ARTIKEL BERKAITAN: “Dituduh curang, ada hubungan dengan pengurus, maaf saya bukan pelacur!” - Sarah buat pendedahan untuk bantu wanita lain "Baru-baru ini saya perlu membuang ramai kawan di akaun laman sosial Facebook saya disebabkan melanggar privasi. Anda tidak boleh mempercayai orang lain lagi. "Sekiranya anda seperti saya, anda mahu berfikir orang yang terbaik tetapi entah bagaimana, segelintir orang sanggup kehilangan semua nilai etika kerana gosip, cemburu atau tiada siapa yang tahu apa masalahnya. Sarah kongsi ciri-ciri seorang kawan yang tidak baik. "Kalau ada orang tak gembira untuk anda dan kejayaan anda, orang itu bukan kawan yang baik. Tidak kira apa yang berlaku dalam hidup mereka, rakan-rakan anda perlu berasa gembira untuk apa yang anda capai," katanya. Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Pujaan Hati Kanda ini berkongsi perkara tersebut menerusi laman Instagram miliknya pada Isnin. Sebelum ini, Sarah pernah mendedahkan mengenai hubungan cintanya yang terjalin selama lima tahun berakhir disebabkan bekas kekasihnya melemparkan pelbagai tuduhan buruk sepanjang mereka bercinta. Menerusi laporan mStar pada 27 Julai lalu, Sarah menjelaskan tindakannya membuat pendedahan secara terbuka tentang kisah peribadinya itu bagi membantu wanita atau lelaki yang mengalami situasi sama sepertinya. Malah, Sarah juga kini kerap berkongsi mengenai ciri-ciri seseorang yang tidak baik untuk dijadikan sebagai pasangan hidup di media sosialnya. Sarah Hildebrand. Dalam pada itu, pelakon yang mempunyai darah kacukan Amerika dan Jerman ini turut memberi nasihat kepada pengikutnya untuk menjauhkan diri daripada golongan yang tidak boleh melihat pencapaian orang lain. Bagi Sarah, lebih baik mempunyai kawan yang sedikit berbanding ada ramai kawan yang suka menikam belakang seperti menyebarkan berita tidak sahih mengenai orang lain. "Sekiranya mereka mengecilkan pencapaian anda atau hanya mengabaikannya dan kepentingan mereka, sudah tiba masanya untuk move on. "Jika seseorang menyebarkan khabar angin tentang anda, berbohong kepada orang lain tentang anda, atau bercakap di belakang dan bergosip, itu bukan kawan yang baik. "Buang orang itu. Lebih baik begitu. Pastikan anda mempunyai kumpulan kawan yang kecil. Kualiti bukan kuantiti," ujarnya.