suria

Isteri keguguran punca Reza Hasbi hilang sabar “Salah saya tularkan video pergaduhan itu, mereka sudah mohon maaf”

Reza mohon maaf kepada pengawal keselamatan dan pihak hospital atas tindakannya memuat naik video pergaduhan mereka di laman sosial.

PELAKON Reza Hasbi mengakui menyesal dan memohon maaf atas tindakannya memuat naik video pertelingkahan antara dia dan pengawal keselamatan Hospital Sungai Buloh di Instagram pada 16 Julai lalu.

Reza atau nama sebenarnya Mohamad Ridzuan Hasbullah, 30, berkata dia tidak sepatutnya menularkan video tersebut memandangkan pihak pengawal keselamatan dan hospital sudah membuat permohonan maaf kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Aku tak malu badan bau ketiak”- Reza Hasbi jadi kontraktor kampung, ambil upah pasang siling rumah

"Kalau boleh saya nak selesaikan masalah ini dengan cara baik supaya tiada mana-mana pihak tersinggung. Saya akui memang salah saya viralkan video itu sedangkan mereka sudah mohon maaf kepada saya.

"Jadi, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada pengawal keselamatan itu serta pihak hospital dan harap dengan permohonan maaf ini semuanya selesai," katanya kepada mStar.

Reza bertindak merakam video pengawal keselamatan menengkingnya dan memuat naik di Instagram.

Reza diminta mengulas mengenai video dia membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pengawal keselamatan bernama Ag Mohd Noh Ag Samat dan Hospital Sungai Buloh yang dimuat naik di Instagramnya pada Isnin.

Sebelum ini, pelakon drama Dia Menantu Rahsia itu memuat naik video rakaman pertelingkahan antara dia dan pengawal keselamatan di laman sosialnya menarik perhatian netizen.

Rata-rata netizen turut mempertikaikan tindakan Reza merakam dan memuat naik video tersebut sedangkan dia sudah membuat laporan polis terhadap pengawal tersebut.

Insiden tersebut difahamkan berlaku pada malam Isnin, 15 Julai lalu.

Dalam pada itu, Reza memberitahu punca pergaduhan tersebut berlaku disebabkan dia berang dengan teguran kasar pengawal keselamatan yang memintanya untuk meletakkan kenderaannya di tempat letak kereta yang disediakan.

Menurut Reza, dia mengakui kesilapannya meletakkan kereta di kawasan larangan disebabkan bergegas ingin melihat isteri yang berada di wad kecemasan akibat mengalami keguguran.

Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada pengawal keselamatan itu serta pihak hospital dan harap dengan permohonan maaf ini semuanya selesai.

Reza Hasbi

PELAKON

"Memang salah saya sebab letak kereta di kawasan terlarang tapi ketika itu saya dalam keadaan kelam kabut sebab isteri di wad kecemasan akibat mengalami pendarahan teruk dan keguguran.

"Dalam keadaan saya nak cepat tiba-tiba ada pengawal keselamatan datang, minta ubah kereta dan saya bertegas la. Berlaku provokasi sehingga menyebabkan pertelingkaran antara kami.

"Kesilapan saya lagi apabila saya viralkan insiden tersebut dengan merakam video dan memuat naik di Instagram saya," ujarnya.

Untuk rekod, isteri kepada pelakon drama Dia Menantu Rahsia ini iaitu Rosedarlila mengalami keguguran anak ketiga mereka ketika kandungan sudah mencecah 10 minggu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 21 Februari 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhamad Risqi Danial, 2, dan Muhamad Rafie Dayan yang kini berusia lima bulan.

Reza Hasbi

Artikel Lain