PELUANG menunaikan ibadah haji pada tahun ini merupakan salah satu momen terindah dalam hidup pelakon Fizo Omar. Menurut Fizo, dia melalui pelbagai pengalaman menarik yang tidak mungkin dilupakan dan salah satunya ketika bermalam di Muzdalifah. "Bermalam di Muzdalifah antara salah satu momen perjalanan haji yang tak dapat aku lupakan dan memberi kesan mendalam dalam kehidupan aku. Bak kata ulama, suasana ini diibaratkan seakan-akan padang Mahsyar nanti, beginilah keadaan kita semua menanti saat dipanggil dan dihitung amalan duniawi kita. ARTIKEL BERKAITAN: Bertuahnya mereka dapat jadi tetamu Allah... Ketahui 12 selebriti popular dapat tunai haji tahun ini "Siapa pun kau tetap sama sahaja, bayangkan jutaan manusia bermuhasabah diri di Muzdalifah dengan penuh harapan keampunan daripada Allah. "Pelbagai bangsa dari seluruh pelusuk dunia berkumpul dengan niat lillahitaala (kerana Allah taala) tanpa mengira pangkat, darjat dan keturunan. Kita sama sahaja di mata Allah dan hanya amalan membezakan kita semua. Saat ini kita diuji tahap kesabaran dan pengorbanan dalam menjalankan tanggungjawab dalam rukun Islam kelima ini," katanya menerusi laman Instagram pada Isnin. Perkongsian Fizo di Instagram mengenai pengalamannya mengerjakan ibadah haji tahun ini. Bersama kapsyen tersebut, dia turut memuat naik rakaman video memperlihatkan keadaan sekitar Muzdalifah yang dipenuhi jutaan manusia. Bekas suami kepada usahawan tudung iaitu Mawar Karim ini berangkat ke Tanah Suci Makkah menunaikan ibadah haji pada Rabu lalu lalu. Fizo merupakan antara selebriti popular tanah air yang berpeluang menjejakkan kaki ke Makkah bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu. Dalam pada itu, Fizo menyeru orang ramai memasang niat dan impian untuk menunaikan ibadah tersebut dan melihat sendiri kebesaran Allah SWT itu. Malah, dia turut mengharapkan agar diberi peluang dan kesempatan untuk kembali semula ke kota suci itu. Fizo bergambar kenangan bersama usahawan Engku Emran. "Wahai sahabat sekalian, pasanglah niat untuk ke sini dan rasai lah apa yang aku dah lalui... Kalau dah mampu, tak perlu ditangguh lagi kerana ia bukan sahaja menjalankan rukun, tapi pada aku pengalaman sebuah perjalanan mengenali diri sendiri dan mengenal kebesaran Sang Pencipta. "Semoga aku dijemput lagi dan dapat merasai pengalaman yang sangat berharga memberi keinsafan sehingga membuatkan aku merasa betapa kerdilnya diri ini. Syukur, Ya Allah aku diberi peluang yang sangat berharga ini," ujarnya. Muzdalifah adalah satu kawasan yang terletak antara Mina dan Arafah di Arab Saudi. Kawasan ini merupakan sebahagian daripada Tanah Haram (Masyair Haram). Jarak dari Arafah ialah 8 kilometer (km), dari Mina ialah 6.9 km manakala dari Masjidilharam ialah 13.9 km. Para jemaah haji diminta berada dan bermalam di Muzdalifah sekurang-kurangnya dari waktu terbit fajar hari Nahr (hari raya Aidiladha), tanggal 10 Zulhijjah sehingga waktu terbit matahari hari Nahr. View this post on Instagram A post shared by fizoomar (@fizoomar) on Aug 11, 2019 at 8:19pm PDT